Khairuddin Seru Ahli, Penyokong PAS Undi BN Pada PRU15 Jika Tidak Mahu PH Kembali Berkuasa

0
325

KUALA NERUS: Ahli dan penyokong Pas perlu mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengelak kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang akan membawa mudarat lebih besar kepada negara.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, saranan tersebut adalah berasas kerana pada masa ini hanya BN yang mampu menyekat kemaraan PH dalam PRU15 pada 19 November ini.

“Namun, tidak perlu sampai ke tahap keluar dari Pas, kekal sahaja dalam Pas, cuma untuk PRU15 nanti, ahli dan penyokong Pas perlu mengundi calon-calon BN untuk kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berucap pada Program Bersama Veteran UMNO di Pekarangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Dr. Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas menambah, matlamat untuk menghalang kemaraan PH sepatutnya dilakukan dengan Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO seperti yang dirancang sebelum ini.

“Penyokong dari kedua-dua parti adalah ramai iaitu 3.4 juta ahli UMNO dan satu juta ahli Pas menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 4.4 juta orang.

“Tapi yang 4.4 juta ini tak berlaku, maka kena sokong yang ahlinya 3.4 juta, jangan sokong yang ahli satu juta yang campur entah berapa daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Yang boleh halang PH menang hanyalah BN. Perikatan Nasional (PN) tak mampu nak sekat PH. Undi kepada PN hanya mampu untuk pecahkan undi sahaja, maka orang Pas kena undi BN kali ini untuk halang mudarat PH,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, beliau berhak bercakap mengenai MN kerana beliau adalah antara individu yang terlibat secara langsung dengan proses merealisasikan penyatuan dua parti Melayu Islam terbesar negara sejak awal lagi sebelum BN tewas pada PRU14. –Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here