Bantah Serah Kerusi Parlimen Jerai Kepada DAP : Phahrolrazi Dipecat

0
263

ALOR SETAR: Bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi membidas kenyataan Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Samad bahawa beliau dipecat kerana cuba memboikot Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Phahrolrazi, keputusan membantah kerusi Parlimen Jerai itu daripada diserahkan kepada DAP dibuat dalam mesyuarat Perhubungan Amanah Kedah sebelum ini dan bukannya kata putus beliau seorang.

“Saya dipecat kerana saya didakwa menghasut supaya Amanah Kedah memboikot PRU15. Saya nak jelaskan bahawa keputusan mengenai memboikot pilihan raya sekiranya Jerai tidak diberi kepada Amanah adalah keputusan mesyuarat perhubungan negeri.

“Sepatutnya mereka pecat semua jawatankuasa perhubungan negeri, atas alasan itu baru adil. Jadi tidak boleh pecat (saya) seorang kerana keputusan ini daripada dua kali mesyuarat jawatankuasa Amanah negeri. Apabila tindakan kepada saya sahaja tidak adillah,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Kelmarin, Khalid dalam satu kenyataan menegaskan bahawa tindakan Phahrolrazi itu disifatkan melampau sehingga beliau terpaksa dipecat serta-merta daripada Amanah sekali gus hilang jawatan Pengerusi Amanah Kedah.

Mengulas lanjut, kata Phahrolrazi, kepemimpinan parti itu di peringkat pusat sepatutnya bersikap adil dalam menilai isu rundingan kerusi, apatah lagi ketika menjelang PRU15 pada 19 November ini.

“Sepatutnya berlaku satu proses di mana mereka (Amanah) menjemput saya menghadapi pimpinan atau diberi surat notis dahulu agar saya boleh beri sebab dan sebagainya. Tetapi dengan pembentangan satu mesyuarat sudah buat keputusan untuk pecat saya,” katanya.

Dalam PRU14, Parlimen Jerai dimenangi oleh calon Pas, Sabri Azit yang menewaskan Datuk Seri Jamil Khir Baharom (UMNO) dan Akhramsyah Sanusi Junid (PKR).

Sabri menang dengan majoriti 539 undi selepas memperoleh 22,312 undi, manakala Jamil Khir mendapat 21,773 dan Akhramsyah meraih 21,651 undi.

Mengulas lanjut kata beliau, pihaknya yakin pemecatan itu dijangka mengundang pergolakan dalam kalangan ahli parti itu di Kedah menjelang PRU ini.

“Saya lihat ramai ahli-ahli penyokong Amanah dan Pakatan Harapan (PH) sangat tidak puas hati atas tindakan mereka memecat saya.

“Saya rasa ini bukan saya masa yang sesuai untuk mereka mengambil tindakan disiplin. Dalam keadaan untuk hadapi PRU15 sepatutnya mereka menangguh (pemecatan ini). Sepatutnya mereka jemput saya buat satu perbincangan supaya mereka dapat memahami politik di Kedah agar kita dapat mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Jelas Phahrolrazi, tindakan tersebut juga didakwanya akan merugikan parti itu termasuk menggugat peluang PH untuk menang dengan cemerlang.

“Saya menyertai Amanah ini secara kumpulan dan saya mempunyai kumpulan jadi apabila berlaku kepada saya sebagai pimpinan kepada mereka, jadi tindakan seterusnya akan saya runding dahulu melibatkan mereka yang masih berada dalam Amanah,” katanya. – UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here