PAS Berpandangan Rakyat Masih Dalam Keadaan Letih, Mahu PRU Tidak Dipercepat

0
172

MARANG – Pas mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas bersetuju proses demokrasi ditangguhkan sehingga tiba masanya bagi memberi peluang kepada kerajaan sedia ada menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka dalam tempoh baki penggal.

“Kita sudah buat kenyataan tiga negeri habiskan penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih dengan politik dan wabak (Covid-19) yang belum selesai.

“Jadi lebih baik kita beri peluang kepada kerajaan yang ada laksanakan tugas dalam tempoh secukupnya. Oleh itu kita setuju PRU ditangguhkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di sini, pada Jumaat.

Walaubagaimanapun Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas sudah bersedia menghadapi pilihanraya dengan menggerakkan semua jentera parti di seluruh negara dan menambah cawangan serta ahli-ahli.

Kata Abdul Hadi, Pas akan meneruskan agenda perpaduan ummah menerusi kerjasama dengan parti Melayu terbesar iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO di samping Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Kerjasama ini kita akan lihat perkembangan, sehingga kini kita teruskan kerjasama yang ada biar kukuh dan kuat,” katanya.

Pada Mac lalu, Abdul Hadi menyatakan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah iaitu negeri dikuasai Pas tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya. –Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here