Oleh : Abdullah
DALAM setiap pentadbiran negara, ketua kerajaan harus memiliki pasukan yang mantap dan bijaksana dalam melicinkan urusan kerajaan agar ia disenangi rakyat dan digeruni musuh.
Untuk sebuah kerajaan yang baharu seperti sekarang, kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memain peranan cukup penting kerana usia dan keteguhan kerajaan ini masih di peringkat awal.
Ismail Sabri harus menyediakan pasukan yang boleh bersama beliau dalam melicinkan urusan pentadbiran dan membawa negara keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi yang dihadapi sekarang.
Pengalaman Ismail Sabri memimpin Kementerian Pertahanan yang menaunggi Angkatan Tentera Malaysia mungkin mampu memberi pedoman kepada beliau untuk membentuk ‘kabinet perang’ yang versatil.
Bukan sahaja bijak mengatur strategi, perkara yang lebih penting adalah barisan Jemaah Menteri yang benar-benar dapat membuat ‘sentuhan emas’ yang menguntungkan rakyat.
Tidak dinafikan, dalam senarai kabinet sebelum ini ada beberapa nama yang sering meniti dibibir rakyat kerana menjalankan tugas dengan baik. Nama seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin amat wajar dikekalkan.
Namun Ismail Sabri juga perlu melihat nama-nama lain yang sebelum ini mungkin agak kurang menyerlah tetapi mempunyai ‘sentuhan emas’ yang masih tidak digilap.
Antara nama yang wajar dipertimbangkan ialah Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Haji Mohamad yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Beliau telah berjaya memujuk masyarakat Orang Asli untuk membentuk ‘herd immunity’ dalam masa yang singkat, walaupun sebelumnya masyarakat berkenaan menolak untuk disuntik vaksin Covid-19.
Ahli Parlimen Sungai Besar yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan, Shahar Abdullah juga perlu dipilih oleh Ismail Sabri sebagai merealisasikan hasrat Perdana Menteri untuk memperkasakan suara anak muda dalam kerajaan.
Benar, ramai yang masih kurang nampak ‘umppph’ dalam diri dua bekas Timbalan Menteri ini.
Ia mungkin posisi mereka yang hanya diberi tugas selaku Timbalan Menteri kepada menteri yang datang dari parti atau kumpulan berbeza.
Walau begitu, tugas-tugas yang telah diberikan kepada mereka telah dilakukan dengan sehabis baik dan berjaya menyumbangkan kejayaan kepada impian Malaysia untuk keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi.
Bonus juga untuk Ismail Sabri jika memilih dua bekas Timbalan Menteri ini kerana kedua-duanya tidak memiliki sebarang rekod kotor atau amalan kleptokrat.
Pada perwatakan Abdul Rahman jelas ciri-ciri seorang yang mampu memimpin masyarakat di luar bandar, manakala Shahar pula jelas auranya sebagai seorang anak muda yang mampu menarik balik sokongan terhadap kerajaan.
Kombinasi sokongan masyarakat luar bandar dan beliau atau anak muda ini mampu memperkukuhkan lagi kedudukan Ismail Sabri sehingga menjadi absah dalam cerita-cerita rakyat di Malaysia.
Jika Ismail Sabri mampu mengambil hati masyarakat luar bandar dan belia, maka sokongan keatas dirinya pasti akan melebihi dari rekod yang dipegang oleh bekas-bekas Perdana Menteri terdahulu.
Fikirkanlah…
Penulis merupakan bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas 2, Menteri Kabinet.