Tuesday, September 21, 2021
ISU SEMASAPM Baharu Perlu Jadi Jaguh Penyelesai Masalah Rakyat - Puteri UMNO Nibong...

PM Baharu Perlu Jadi Jaguh Penyelesai Masalah Rakyat – Puteri UMNO Nibong Tebal

Negara telah mencatat sejarah apabila menyaksikan dua orang Perdana Menteri Malaysia meletakkan jawatan sebelum Pilihanraya Ke-15 dan ia amat dukacita apabila perkara ini berlaku ketika kita berada dalam bulan kemerdekaan negara kita tercinta. Kemelut politik ini dilihat sangat meruncingkan sejak perubahan tampuk kepimpinan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan mahupun Pakatan Nasional.

Rakyat mula gelisah dengan situasi ini dan mula memikirkan siapakah selayaknya mengetuai nakhoda Negara dan menjaga kebajikan dan keperluan mereka dalam tempoh penuh cabaran melawan pendamik Covid-19. Sudah tentu, pemilihan Perdana Menteri Malaysia yang baharu kali ini bakal menentukan nasib rakyat bukan sahaja dalam aspek kesihatan malah pemulihan ekonomi negara.

Cabaran ini perlu dipikul dan digalas sebaik mungkin oleh tampuk kepimpinan baharu yang bakal menggantikan kepimpinan Perikatan Nasional. Sebagai seorang anak muda, saya mengharapkan kepimpinan baharu yang bakal menerajui Malaysia adalah dalam kalangan pemimpin berpengalaman dan mempunyai idea-idea baharu yang ditawarkan serta bertindak proaktif bagi membendung penularan wabak.

Pada masa sama, kepimpinan baharu juga perlu jaguh dalam menyelesaikan masalah ekonomi negara yang makin membimbangkan dan pemulihan ekonomi perlu seiring bergerak agar rakyat tidak terbeban menjalani kehidupan harian disebabkan kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan terjejas dan sebagainya.

Rakyat sedang memerhati dan menilai sesebuah kepimpinan berdasarkan status kelangsungan hidup mereka. Pada hemat saya, kelangsungan hidup rakyat adalah survival yang genting dan mana-mana parti politik yang berjaya memberi khidmat terbaik akan berjaya meraih sokongan tidak berbelah bahagi dari rakyat.

Namun sebagai rakyat jua, kita seharusnya adil dalam membuat pertimbangan, ketepikan ketaksuban dan ideologi masing-masing, berikan peluang kepada kepimpinan baharu membuktikan khidmat mereka ibaratnya tanam biji benih, bukan hari ini dapat makan hasilnya, kita perlu menunggu hasilnya membuahkan hasil.

Dari segi siapa calon terbaik yang akan mengetuai kepimpinan, pandangan saya pada ketika ini, negara memerlukan pemimpin yang mampu mengetepikan soal kepentingan politik mahupun peribadi, tampuk kepimpinan baru seharusnya dianggotai barisan kepimpinan yang meletakkan keperluan rakyat dalam adalah keutamaan.

Antaranya, memastikan seluruh lapisan masyarakat mempunyai kesedaran dan mendapatkan vaksin sekadar segera.

Manakala soal kebajikan rakyat, tampuk kepimpinan baharu perlu mencari solusi agar rakyat mempunyai peluang pekerjaan, sumber pendapatan tidak terjejas, rakyat yang terjejas diberikan bantuan yang sewajarnya dan saya kira harapan rakyat Malaysia adalah mereka boleh mengamalkan cara hidup seperti sebelum ini dengan perancangan dan pelaksanaan SOP yang lebih baik.

Akhir sekali, saya percaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan menggunakan kebijaksanaan baginda dalam mempertimbangkan Perdana Menteri baharu dengan mengambikira pelbagai aspek. Sebagai rakyat, saya mengharapkan kepimpinan baharu dapat mengetuai negara Malaysia tercinta ke arah yang membanggakan.

Ini adalah tulisan Saudari Ameera Nadia Mohd Shafiee (Ketua Penerangan, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal, Pulau Pinang)

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular