Lebih 1,000 Pesakit Covid-19 Di Lembah Klang Masuk Wad Setiap Hari

0
598

Lebih 1,000 pesakit yang dijangkiti Covid-19 di Lembah Klang dimasukkan ke hospital setiap hari.

Ketua Pegarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam masa yang sama terdapat 6,427 pesakit yang berada di hospital di Lembah Klang.

Manakala 2,685 di dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Peningkatan pesakit yang dirawat itu ekoran lonjakan kes Covid-19 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak kebelakangan ini.

“Bilangan kemasukan pesakit baharu ke hospital di Lembah Klang meningkat sebanyak lebih 33 peratus berbanding tempoh dua minggu lepas.

”Lebih 1,000 pesakit dimasukkan ke hospital setiap hari,” katanya menerusi penghantaran di Facebook hari ini.

Selain itu, tambah beliau, bilangan pesakit yang menunggu bagi mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma juga adalah tinggi.

Noor Hisham berkata, bagi menangani situasi ini, beberapa langkah telah dilakukan di bawah seliaan seliaan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley termasuk mewujudkan katil tambahan di hospital medan di luar kawasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Katil di hospital seperti Hospital Selayang dan Hospital Serdang juga ditambah.

Katanya lagi, kapasiti PKRC MAEPS juga dipertingkatkan bagi memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan oksigen.

Untuk rekod, hospital yang telah berfungsi sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Pakar Kanak-kanak UKM.

Kapasiti katil hospital tambahan yang telah dipertingkatkan untuk tempoh dua minggu lepas adalah 2,884 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jumlah ini akan meningkat melalui langkah yang sedang dilaksanakan.

“Kadar vaksinasi di Lembah Klang akan terus dipercepatkan bagi mengurangkan pesakit yang dijangkiti dengan gejala yang serius,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here