Tuesday, September 21, 2021
ISU SEMASAUsahlah Jadikan Dewan Rakyat Macam ‘Zoo Negara’

Usahlah Jadikan Dewan Rakyat Macam ‘Zoo Negara’

SEJAK awal tahun 2021, ahli Parlimen terutamanya dari Pakatan Harapan (PH) dan UMNO lantang bersuara meminta supaya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka Parlimen, untuk membolehkan suara rakyat didengari.

Walaupun Kerajaan PN punya alasan tersendiri untuk tidak membukanya, namun alasan kebanyakan ahli Parlimen yang mendakwa kononnya ‘pejuang rakyat’, lebih diterima ramai orang. Lantas dengan campur tangan Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan bersetuju membuka sidang Parlimen sebelum 1 Ogos 2021.

Baginda Tuanku menetapkan supaya sidang Parlimen dijadikan platform ‘check and balance’ bagi mencari solusi yang ideal terbaik untuk menang dalam perang melawan Covid-19.

Berikutan titah ini, tersenyum lebarlah para ahli Parlimen setelah lebih 200 hari tidak dapat bersidang. Masing-masing berkobar-kobar mahu masuk ke Dewan Rakyat. Tidak sabar untuk meluahkan keperitan rakyat yang kini terus dihimpit kesan akibat pandemik Covid-19.

Rakyat yang kebanyakannya seperti kita pula tersenyum gembira. Apa tidaknya, kita rasa seronok, ramai wakil rakyat mahu perjuangkan suara kita.

Di media sosial penuh dengan kata-kata suka dan semangat. Semuanya dituju kepada ahli-ahli Parlimen yang mula masuk ke Dewan Rakyat pada 26 Julai.

Namun, ternyata rakyat ‘dikencing’ lagi. Sebaik mereka berjaya duduk di kerusi empuk dalam Dewan Rakyat, sikap dan sifat mereka yang ‘lama’ muncul kembali.

Parlimen tak ubah seperti ‘pasar borong’, tidak langsung menggambarkan gelaran ganti diri ‘Yang Berhormat’ pada diri mereka.

Melalak, melolong, memaki hamun, tidak mengendahkan arahan dan peraturan antara ‘imej’ mereka dahulu. Kini diulang dan ditayangkan semula.

Lebih teruk, ramai dalam kalangan ahli Parlimen PH bangun berdiri berhujah tanpa fakta. Hanya mahu menegakkan benang yang basah dan berniat untuk ‘membunuh’ imej pihak lawan.

Ke mana perginya janji-janji mereka kepada rakyat sebelum ini? Kononnya Sidang Khas Dewan Rakyat ini mahu dibahas berdasarkan fakta dan keadaan semasa, semata-mata?

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar ketika di Dewan Rakyat pada hari Selasa lalu

Suka ataupun tak, kita harus kalungkan pujian buat YB Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang jelas lebih baik dari yang lain. Beliau bangun dan hanya bercakap soal yang dibincangkan dalam jadual persidangan.

Beliau bangun pada hari pertama, ketika sidang dewan bincang soal Pelan Pemulihan Negara (PPN). Tidak melalut atau mencampuradukkan dengan isu-isu lain.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias antara pembahas dari UMNO-Barisan Nasional (BN) yang mengkritik kerajaan dan disertakan cadangan untuk penambahbaikan pihak berkenaan.

Begitu juga YB Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menyentuh soal peningkatan kes bagi negeri-negeri yang sudah berpindah ke Fasa 2 dalam PPN.

Jalaluddin turut cadangkan setiap kementerian dan agensi kerajaan perlu berkolaborasi tanpa sempadan pemisah. Ini untuk pastikan jentera negara selari dan sama-sama berfokus kepada satu perkara – keluarkan Malaysia dari pandemik.

Bukan hanya mengherdik atau mengkritik, tetapi disertakan dengan cadangan yang logik dan mampu dilakukan.

Mereka ini antara contoh ahli-ahli Parlimen yang bersifat jujur kepada janji dan rakyat di luar seperti kita. Bukan menggunakan alasan mahu bawa suara rakyat, tapi di dalam dewan lain pula jadinya.

Harapan rakyat amat besar. Kami mahu 220 ahli Parlimen berhujah dan berbincang dengan fakta, bukan emosi. Fokus kepada mencari solusi untuk selamatkan nyawa dan perut rakyat.

Jika kerajaan tersasar dari landasan yang benar, tegur secara berhemah dan beri cadangan membina. Jika kerajaan sedang melakukan yang terbaik , sama-sama tolong bantu dan memberikan sokongan.

 

Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba berucap ketika menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen hari Selasa. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tetapi semua itu tak berlaku. Lihat sendiri petang 27 Julai 2021, ketika YB Menteri Kesihatan Datuk Sri Dr Adham Baba menjawab, gelagat ahli-ahli Parlimen PH cukup mengecewakan majoriti rakyat termasuk golongan muda yang menonton.

Mereka hanya mahu cipta persepsi tidak baik kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang menguruskan frontliners kesihatan dan hal ehwal perubatan Covid-19 dalam negara kita.

Tiada langsung cadangan besar yang boleh membantu urusan perubatan Covid-19 menjadikan keadaan bertambah baik.

Sudahlah wahai ahli-ahli Parlimen semua. Rakyat sudah tersepit dan dihimpit. Jangan pula Dewan Rakyat menjadi sekadar penambah garam di atas luka pada hati rakyat yang merasakan hak mereka menjadi taruhan politik.

Usahlah jadikan Dewan Rakyat macam ‘Zoo Negara’.

 

Oleh : Haji Sarfarizmal bin Saad

Mengecewakan, Dewan Rakyat atau Zoo Negara?

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular