GEORGE TOWN, 21 Julai — Isteri kepada Yang Dipertua Negeri Toh Puan Khadijah Mohd Nor mendahului senarai 1,036 penerima darjah kebesaran bintang dan pingat kehormat negeri sempena Ulang Tahun ke-72 Yang Dipertua Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Toh Puan Khadiah dianugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) iaitu darjah kebesaran tertinggi bagi Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Sementara itu, dua Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri dianugerahkan kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad yang juga Pengerusi Operasi Western Digital (M) Sdn Bhd Datuk Dr Syed Hussian Aljunid.
Bagaimanapun, istiadat penganugerahan darjah kebesaran tahun ini ditangguhkan ke satu tarikh akan diumumkan kelak selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Dalam pada itu, seramai 15 individu pula dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Antara penerima ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar; bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd. Manan; Biskop Roman Katholik Pulau Pinang, Datuk Sebastian Francis; Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia, Datuk Tan Gin Soon dan Pengarah Pengurusan Epic Valley Holdings Sdn Bhd Tan Sri Dr Fng Ah Seng.
Selain itu, seramai 14 individu pula dianugerahkan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) yang membawa gelaran Datuk.
Mereka ialah Datuk Bahurdin Abdul Kader; Datuk Balakrishnan Shanmugam; Datuk Dr. Chatar Singh; Datuk Dr. S. Sellappan; Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Datuk Dr. H. Fitjerald; Datuk Yazid Arshad; Datuk R. Muralidaran; Datuk Ng Hooi Lai; Datuk Ng Joon Tong @ Ng Joo Tong; Datuk Ong Seng Huat; Datuk Yeoh Cheng Bah; Datuk Zailani Hashim dan Lok Bah Bah @ Loh Yeow Boo.
Sejumlah 116 individu menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), yang membawa gelaran Datuk, dan antaranya ialah Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Pengerusi One Hope Charity & Welfare Bhd, Chua Sui Hau.
Pengerusi Malaysian Invention and Design Society (MINDS) Bahagian Seberang Perai, Dr. Cheah Cheng Huat; Ahli Dewan Rakyat Senator Ismail Yusop; Ketua Pegawai Eksekutif Protechhealth Corporation Sdn Bhd Dr. Anas Alam Faizli.
Selain itu, 66 individu menerima Darjah Johan Negeri (DJN), Bintang Cemerlang Negeri (42), Pingat Kelakuan Terpuji (195), Pingat Jasa Kebaktian (287), Pingat Jasa Masyarakat (274) dan 24 penerima Pingat Bakti Setia.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang dalam kenyataan hari ini berkata hari ulang tahun Yang Dipertua Negeri sepatutnya disambut pada 10 Julai lalu namun telah ditangguhkan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Katanya, senarai penerima darjah kebesaran negeri akan diwartakan esok dan penerima boleh menggunakan gelaran setelah senarai penerima diwartakan.
— BERNAMA