Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang mempersoalkan kebenaran yang diperolehi untuk melakukan aktiviti perkhemahan bersama rombongan melibat Adun DAP dari Selangor di kawasan Hutan Simpan Kekal, Ulu Jelai, berhampiran Pos Lenjang, Kuala Lipis.
Ketuanya, Farid Nor, berkata beliau dimaklumkan satu rombongan yang terdiri daripada 29 orang menaiki beberapa buah kenderaan 4×4 telah memasuki kawasan hutan Simpan Kekal Ulu Jelai, malam tadi.
Siapa yang memberi kebenaran untuk mereka merentas negeri, daerah dan masuk ke kawasan hutan simpan kekal tersebut yang mana kami sendiripun perlu memohon kebenaran walaupun bagi tujuan menyalurkan bantuan serta program berkaitan pendaftaran vaksin, soal beliau.
Apa tujuan mereka memasuki kawasan hutan simpan di waktu seperti ini merupakan suatu tanda tanya.
“Pergerakan UMNO Negeri Pahang dimaklumkan satu rombongan yang terdiri daripada 29 orang menaiki beberapa buah kenderaan 4×4 telah memasuki kawasan hutan Simpan Kekal Ulu Jelai, berhampiran Pos Lenjang, Kuala Lipis Pahang malam tadi.
“Turut bersama rombongan ini adalah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dari Selangor.” ujar Farid.
Sindir Farid, Jika mahu beri bantuan adakah rakyat diwakilinya di Selangor sudah menerima bantuan sepenuhnya?
“Adakah ada niat lain disebalik kehadiran mereka yang agak ramai?
“Begitu juga tahap keselamatan mereka? Siapa yang boleh memberikan jaminan bahawa mereka bebas dari wabak yang dikhuatiri boleh menjangkiti penduduk di kawasan terbabit khususnya dan Negeri Pahang amnya.” soal beliau.
Sementara itu, menurut Farid, pihak berkuasa telah menahan mereka yang sedang berkhemah di tepi sungai dalam hutan tersebut malam tadi.
Kata Farid lagi, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang menuntut pihak berkuasa khususnya Polis melakukan siasatan terhadap kumpulan yang melakukan aktiviti perkhemahan ini. Dan beliau juga menuntut, jika terbukti bersalah melanggar SOP, hukuman mengikut undang-undang yang telah diperuntukkan.
“Keberanian mereka ini merupakan suatu tindakan yang biadap terhadap rakyat Negeri Pahang.” ujar beliau.