Thursday, October 21, 2021
NASIONALRibut di Terengganu: Kerajaan negeri akan bantu mangsa terjejas

Ribut di Terengganu: Kerajaan negeri akan bantu mangsa terjejas

KUALA TERENGGANU, 6 Julai  — Kerajaan negeri akan mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa yang terjejas, akibat ribut yang berlaku di beberapa daerah di Terengganu lewat petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata, buat masa ini semua ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), telah diarah membuat pemantauan awal di lokasi kejadian.

“Saya difahamkan ribut kuat menyebabkan berlaku kerosakan rumah penduduk di beberapa kawasan perumahan, antaranya di Kuala Berang, Hulu Terengganu; Tok Kah di Dungun dan rumah pangsa di Chendering, Kuala Terengganu.

“Jumlah sebenar keluarga yang terlibat juga masih dalam proses kemas kini. JPKK akan memaklumkan jenis kerosakan dan anggaran kerugian awal yang dialami setiap keluarga, secepat mungkin. Bantuan awal juga akan disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut keperluan mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ribut kuat yang melanda Terengganu juga, menyebabkan berlakunya kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi dan atap rumah penduduk diterbangkan, namun sehingga kini tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Hanafiah berkata, kerja baik pulih rumah penduduk yang rosak juga akan dimulakan esok, dengan penyelarasan kerja dilakukan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta JPKK di kawasan yang terlibat.

“Siasatan terperinci mengenai jumlah kerosakan akan dilakukan JKM, dan dibincangkan dalam mesyuarat khas yang turut dihadiri ADUN kawasan terlibat, untuk memuktamadkan jenis bantuan yang bakal diberi,” katanya.

— BERNAMA

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular