KUALA LUMPUR, 29 Jun — Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sangat penting untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas kerana negara mungkin akan kekal berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sepanjang bulan depan, demikian menurut Public Investment Bank.
Menurutnya dalam satu nota penyelidikan hari ini, ia berkata ini disebabkan oleh peningkatan jumlah harian kes COVID-19 yang masih tinggi daripada nilai ambang yang ditetapkan di bawah 4,000 kes untuk tempoh tujuh hari berturut-turut.
Negara ini juga masih jauh daripada faktor penentu kedua (kapasiti penghunian katil unit rawatan intensif di paras sederhana) walaupun mendahului faktor penentu ketiga (11 peratus populasi dewasa telah divaksinkan berbanding nilai ambang sekitar 10 peratus), tambah bank ini.
“Ini boleh menyebabkan pemulihan yang lewat untuk sektor berasaskan perkhidmatan utama seperti runcit, borong dan penerbangan,” katanya.
Bank itu turut menyatakan suntikan fiskal langsung sebanyak RM10 bilion daripada PEMULIH lebih kecil berbanding PEMERKASA (RM11 bilion) walaupun lebih besar daripada PEMERKASA Tambahan (RM5 bilion) dan pakej PERMAI (RM6.6 bilion).
Ia berkata pusingan terkini suntikan fiskal untuk PEMULIH diatur untuk memperluas defisit fiskal walaupun ini dapat ditampung oleh pendapatan minyak yang lebih tinggi berikutan prestasi harga minyak yang lebih baik daripada jangkaan.
“Kerajaan juga dapat mengkalibrasikan semula serta menangguhkan perbelanjaan untuk projek besar ekoran pelbagai cabaran yang tercetus daripada pandemik termasuk kekurangan tenaga kerja serta penutupan operasi secara mandatori.
“Kami juga tidak menolak pinjaman fiskal tambahan untuk membiayai perbelanjaan rangsangan fiskal terbaru walaupun belum ada perincian yang diberikan,” tambahnya.
— BERNAMA