Mohon pelancongan Pulau Tioman beroperasi selepas penduduk selesai divaksin

0
284

ROMPIN, 29 Jun  — Kerajaan negeri Pahang akan memohon supaya sektor pelancongan di Pulau Tioman dekat sini, dibenarkan beroperasi semula sebaik sahaja 80 peratus daripada 3,500 penduduk di pulau berkenaan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat, supaya ia boleh dipertimbangkan dengan sekurang-kurangnya pulau itu dibuka kepada pelancong tempatan.

“Kita sedia mengenakan syarat seperti pelancong diwajibkan menjalani ujian saringan atau apa sahaja prosedur operasi standard (SOP) yang wajar dikenakan kepada pelancong sebelum mereka boleh masuk ke Pulau Tioman.

“Usaha membuka sektor pelancongan di pulau ini penting untuk kelangsungan hidup penduduk kerana majoriti mereka terdiri daripada pemain industri sama ada sebagai pemandu bot, pengusaha chalet atau aktiviti air dan pemilik kedai makan,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Marina Awam Pulau Tioman dan Kampung Genting hari ini, yang dibuka khusus sejak Isnin lepas bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di pulau peranginan itu.

Pemberian suntikan vaksin jenis Sinovac di Pulau Tioman akan berlangsung sehingga Sabtu ini, melibatkan 50 petugas Pejabat Kesihatan Daerah Rompin, dengan fasa pertama melibatkan 1,700 penerima, diikuti fasa kedua dalam masa terdekat.

Semangat untuk kembali menerima pelancong menurut Wan Rosdy, menyebabkan usaha memberi suntikan vaksin kepada penduduk di pulau itu mendapat sambutan sangat menggalakkan di enam PPV yang diwujudkan sekitar pulau berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy optimis sasaran 80 peratus daripada 1.2 juta penduduk Pahang menerima suntikan vaksin COVID-19 dapat dicapai sebelum tiba musim tengkujuh yang lazimnya menyebabkan banjir di negeri ini.

Beliau berkata sasaran itu boleh dicapai dengan jaminan Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin bahawa 440,000 dos vaksin akan diterima Pahang pada Julai selain kerajaan negeri turut memohon bekalan vaksin untuk November dan Disember diawalkan kerana bimbang risiko banjir.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga tidak mempunyai kekangan untuk meningkatkan jumlah pemberian vaksin harian dengan pertambahan bekalan kerana lokasi sesuai dijadikan PPV dan jumlah kakitangan kesihatan terlibat sudah dipastikan mencukupi sebelum membuat permohonan tambahan itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Ahli Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman dan Pegawai Daerah Rompin Ahmad Nasim Mohd Sidek.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here