Thursday, December 9, 2021
POLITIKPM dapatkan pandangan Peguam Negara tentukan tarikh Persidangan Parlimen

PM dapatkan pandangan Peguam Negara tentukan tarikh Persidangan Parlimen

KOTA BHARU, 27 Jun — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan Persidangan Parlimen selepas mendapat pandangan Peguam Negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata kemudian, Perdana Menteri akan memaklumkan perkara tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Katanya selepas itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengeluarkan notis 28 hari kepada Ahli-ahli Parlimen, seperti ditetapkan dalam peraturan.

“Ketika ini, notis belum dikeluarkan kerana di bawah Ordinan Darurat Parlimen tidak boleh bersidang. Selepas Proklamasi Darurat ditamatkan barulah boleh dikeluarkan notis, sekiranya Parlimen hendak bersidang.

“Maknanya tidak lebih dari 1 Ogos…1 Ogos nanti Proklamasi Darurat tamat, barulah undang-undang yang berkaitan memanggil Parlimen berkuat kuasa semula,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai persidangan Parlimen secara hibrid, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menjelaskan perkara tersebut adalah satu pilihan sekiranya tidak boleh bersidang secara fizikal.

“Speaker menyebut persidangan Parlimen secara hibrid adalah satu opsyen iaitu kalau sekiranya Parlimen tidak boleh diadakan secara fizikal maka opsyennya adalah hibrid.

“Maksud hibrid sebahagian bersidang secara fizikal dalam jumlah tertentu dan yang lain hadir secara maya, dalam talian. Sekarang pun banyak mesyuarat termasuk mesyuarat Kabinet diadakan secara dalam talian.

“Jadi, pihak Parlimen yang mencadangkan pada kerajaan kalau tidak boleh dibuat secara fizikal dan jika kerajaan putuskan untuk mengadakan Parlimen, pilihannya adalah hibrid,” katanya.

— BERNAMA

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular