Thursday, October 21, 2021
GAYA HIDUPGelagat Spiderman jual mi curi tumpuan

Gelagat Spiderman jual mi curi tumpuan

Oleh Robert Kenneth

KUCHING, 26 Jun — Bagi mereka yang lalu-lalang di perhentian bas Bazaar Serian, kira-kira 50 kilometer dari sini, gelagat seorang lelaki menguruskan warung mi daging dengan memakai kostum adiwira “Spiderman”, pasti mencuri tumpuan.

Chua Yong Seng, 39, bapa kepada tiga anak berkata kehidupan kini semakin sukar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang COVID-19, dan dia terpaksa melakukan sesuatu – apa sahaja – untuk menarik kehadiran ramai ke warungnya yang baru dibuka dekat hentian itu tiga hari lepas.

Katanya penularan COVID-19 benar-benar menyukarkan perniagaannya sebelum ini, mengakibatkan beliau terpaksa melakukan sesuatu untuk meneruskan kehidupan dalam tempoh yang sukar ini.

“Saya perlu lakukan sesuatu, jadi saya memutuskan untuk menjual mi daging ini, sekurang-kurangnya ada pendapatan untuk menyara hidup, beli makanan untuk keluarga, bayar bil dan sebagainya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ditanya mengapa beliau memilih untuk memakai kostum spiderman, katanya beliau merasakan itu adalah cara untuk menarik perhatian dan kunjungan ramai ke warungnya yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 2.00 petang itu.

“Saya siapkan bahan-bahannya dan masak sendiri mi, jual RM8 sepinggan, minuman air mineral diberikan percuma,” katanya dan menambah biasanya beliau akan mendapat memperoleh hasil jualan RM100 hingga RM200 sehari.

Sementara itu kelibat seorang lagi “Spiderman” dikesan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Kozi Square Commercial Centre, berhampiran Hospital Umum Sarawak di sini semalam, yang muncul untuk menerima suntikan vaksin.

Gambar-gambar Mohd Syah Nizam Rajap, 32, dari Kampung Sindang di Kota Samarahan dengan memakai kostum adiwira itu menjadi tular di media sosial sejak semalam.

“Saya peminat komik Marvel, seperti Spiderman, dan memilih untuk memakai kostum ini kerana saya hendak bawakan keriangan kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang bertugas di PPV. Mereka pastinya dah letih, saya harap dapat bawa sedikit hiburan untuk mereka,” katanya.

“Spiderman perlu buatkan orang ramai rasa selamat. Saya sudah mainkan peranan saya, jadi ambillah vaksin, tiada apa yang perlu ditakutkan, ia selamat dan penting untuk melindungi orang ramai daripada COVID-19” kata petuga di Tabung Baitulmal Sarawak itu.

Mohd Syah berkata beliau merancang untuk memakai kostum adiwira “Ironman” untuk janji temu suntikan dos kedua nanti.

— BERNAMA

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular