Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias memberi cadangan kepada pihak kerajaan agar tidak lagi memberi fokus kepada golongan B40 semata-mata, sebaliknya golongan M40 juga perlu mendapat bantuan.
Keadaan pandemik Covid-19 yang makin menular dan memberi kesan negatif terhadap ekonomi masyarakat di negara ini turut menampakkan kesan kepada tekanan perasaan sesetengah pihak.
Justeru beliau mengingatkan mana-mana individu yang mengalami tekanan perasaan perlu segera mendapatkan bantuan yang sewajarnya agar perkara tidak diingini boleh dielak.
“Jika anda ketika ini menghadapi tekanan perasaan, jangan dipendam, jangan disimpan. Cari orang untuk berkongsi, cari orang yang boleh membantu. Tindakan memendam ini akhirnya akan memakan diri kita sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada portal MSentral.
Memandangkan bukan sahaja golongan B40 yang terkesan, Jalaluddin berkata, sudah sampai masanya kerajaan mengambil kira bantuan yang lebih menyeluruh kepada golongan M40, disamping mempercepatkan proses pemberian bantuan yang dijanjikan.
“Segala bentuk bantuan yang boleh diberi harus diberi segera, i-Sinar 2.0, Moratorium 2,0 secara automatik harus segera dilaksanakan. Bantuan-bantuan yang telah diumumkan sebelum ini juga harus dipercepatkan prosesnya,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan tidak boleh berlengah lagi memandangkan situasi Covid-19 ditambah pula dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah cukup membebankan sehingga tercetusnya masalah tekanan perasaan dalam kalangan rakyat marhaen.
“Pelaksanaan PKP sejak Mac 2020 lalu sedikit sebanyak telah memburukkan lagi keadaan..bagi sesetengah rakyat di luar sana, PKP ini umpama satu seksaan dunia untuk mereka..kerajaan sudah tidak boleh berdiam diri.
“Ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang kehilangan pendapatan, anak-nak memberontak akibat terlalu lama duduk di rumah tidak dapat keluar. Apabila anak-anak memberontak, ibu bapa ‘stress’ sampai bergaduh suami isteri dan akhirnya rumah tangga porak peranda,” ujarnya.
Beliau mengulas mengenai perkara ini setelah meneliti beberapa laporan media berkaitan kes melibatkan tekanan perasaan yang makin kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini. – MS