SHAH ALAM, 24 Jun — Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah memutuskan untuk menukar status Hospital Ampang daripada Hybrid COVID-19 kepada hospital rawatan pesakit COVID-19 sepenuhnya (Hospital Full COVID-19) berkuat kuasa semalam (23 Jun).
Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata keputusan berkenaan diambil berikutan peningkatan kes harian COVID-19 yang tinggi terutamanya melibatkan pesakit kategori tiga dan ke atas secara berterusan di zon wilayah tengah.
“Situasi ini menyebabkan purata penggunaan katil di hospital-hospital zon wilayah tengah melebihi kadar maksimum sehingga Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0 menghadapi kesukaran untuk merujuk pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan lanjut di hospital.
Dr Sha’ari berkata susulan itu, semua rujukan pesakit bukan COVID-19 dari fasiliti lain ke Hospital Ampang perlu dihentikan sementara waktu mulai Rabu bagi memberi ruang kepada Hospital Ampang menerima pesakit COVID-19.
“Jabatan ini (JKNS) juga memohon kerjasama Hospital Ampang untuk menerima rujukan pesakit bukan COVID-19 yang sedia ada daripada Hospital Ampang agar rawatan kepada pesakit-pesakit tersebut dapat diteruskan,” katanya menerusi surat itu.