Pengambilan Pegawai Perubatan U41 : KKM & SPA Dah Buat Sehabis Baik!

0
367

SIAPA yang tak mahu dapat kerja berstatus tetap dan berpencen? Jika tidak, masakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menerima beratus ribu permohonan apabila membuka sesuatu perjawatan dalam mana-mana skim perkhidmatan awam.

Walhal jumlah kekosongan yang ada hanyalah beberapa tempat sahaja.

Semangat untuk berbakti kepada negara melalui skim perkhidmatan awam ini merupakan suatu perkara mulia dan menunjukkan kepada semua bahawa kualiti perkhidmatan awam di negara ini berada pada tahap yang meyakinkan.

Disebabkan kekangan tempat kosong untuk diisi berbanding jumlah permohonan yang amat tinggi setiap masa, sudah pastilah jurang tersebut akan meninggi dan statistik kegagalan untuk memperoleh jawatan tetap dalam sektor perkhidmatan awam menjadi agak tinggi.

Perkara ini turut menjadi isu turun temurun terutama dalam kalangan skim UD, atau Pegawai Perubatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Jika kita mengikuti isu ini sejak awal, sudah tentu kita akan dapati ia seolah-olah tiada jalan penyelesaian. Ada juga yang tampil menyalahkan kepimpinan kementerian secara menyeluruh, tanpa menerima maklumat lebih terperinci.

Seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada 23 Jun, KKM bukanlah tidak memperduli segala rintihan dan keluhan para Pegawai Perubatan berstatus kontrak yang mahu ditetapkan dalam perkhidmatan.

Sebaliknya, banyak kekangan yang menjadi penghalang kepada perkara ini direalisasikan.

Bagi menyeimbangkan isu ini agar berlakunya ‘win-win situation’, Dr Adham memberitahu bahawa KKM sentiasa teruskan pengambilan Pegawai Perubatan gred U41 secara kontrak, walaupun tiada sebarang jaminan bahawa mereka akan ditetapkan dalam sesuatu tempoh tertentu.

Ini juga salah satu cara untuk memberi peluang kepada mereka mendapat pendedahan pengalaman bekerja seperti mana obligasi yang ditetapkan oleh Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

KKM bertindak sehabis baik dalam memperjuangkan nasib dan menunaikan tanggungjawab terhadap para graduan bidang perubatan ini. Jika tidak, masakan jumlah mereka yang diterima secara kontrak sudah mencecah 23,077 Pegawai Perubatan gred UD41 bagi tempoh Disember 2016 sehingga 31 Mei 2021 lalu.

Paling tidak, para graduan bidang perubatan ini masih beruntung kerana profesion lain tidak mendapat kemudahan dan peluang secerah ini. Kerajaan tiada kewajipan menyediakan perjawatan bagi lain-lain profesion kecuali perubatan.

Namun begitu kita juga harus faham tentang urus tadbir skim dan kewangan perkhidmatan awam yang telah lama diamalkan di negara ini. Pentadbir kerajaan negara kita bukan boleh sewenang-wenangnya memberi perjawatan tetap mengikut kehendak kita.

Ia perlu kajian secara terperinci dan menyeluruh kerana melibatkan kesan besar terhadap wang rakyat yang dibelanjakan untuk para penjawat awam. Jika sesuatu perjawatan berstatus tetap dan berpencen ini boleh diberikan secara ikut suka, maka negara kita akan mengalami keadaan gagal berfungsi akibat kewangan yang tidak seimbang.

Justeru, tindakan KKM dan SPA melantik para graduan perubatan untuk mengisi jawatan berstatus kontrak adalah suatu langkah yang paling ideal pada situasi ini. Bersyukurlah dengan apa yang kita dapat hari ini, agar di masa hadapan kita akan mendapat rezeki yang lebih besar.

Dr Mohamad Kelantani

Putrajaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here