Oleh : Ibn Saad
Kita semua mahu ‘herd immunity’ segera kerana tiada jalan keluar lain dari pandemik ini, melainkan melalui vaksinasi yang sedang kita lakukan sekarang.
Walaupun ramai yang kata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) agak ‘slow’, namun itulah satu-satunya cara yang kita ada jika mahu keluar dari kemelut semenjak tahun 2020 ini.
Dalam kesibukan kita membentuk ‘herd immunity’, jangan dilupa kepada mereka yang berada di luar bandar dan golongan yang memerlukan ekstra perhatian seperti masyarakat Orang Asli.
Jika kita tak tampil menghulurkan tangan menolong, hampir mustahil mereka mencari alternatif keluar dari perkampungan dan mendapatkan jarum-jarum suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat.
Malah, boleh berlaku bahawa majoriti Orang Asli dan penduduk luar bandar tidak pernah melihat bagaimana rupa Aplikasi MySejahtera. Apatah lagi nak daftar diri sebagai penerima vaksin menggunakan sebuah aplikasi canggih di telefon pintar.
Dalam menggerakkan usaha yang tak populis dan jarang diketahui umum ini, pujian harus diberikan kepada Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad yang telah melakukan kerja dengan sehabis baik.
Beliau menggerakkan jentera kementerian dengan sehabis baik supaya majoriti masyarakat Orang Asli dan di luar bandar berjaya disuntik vaksin Covid-19.
Pendekatan yang beliau ambil juga lebih santai, menarik dan profesional. Tak seperti Filipina yang memaksa dengan keras, sebaliknya Abdul Rahman berusaha untuk mendidik dan memberitahu segenap masyarakat tentang keperluan dan kebaikan vaksin.
“Saya percaya masyarakat akan lebih terbuka menerima vaksin sekiranya mereka faham dan jelas mengenai vaksinasi ini,” katanya.
Abdul Rahman memang seorang pemimpin yang bersikap bertanggungjawab dan tidak mudah mengaku kalah. Beliau sendiri menubuhkan dan mengetuai Task-force Covid-19 JAKOA bertujuan memasuki perkampungan, mencari dan memberi ilmu serta penerangan tentang keperluan terdesak kita untuk ‘herd immunity’.
Berkat kesabaran dan ketelitian Abdul Rahman dan pasukannya di KPLB, kini trend peningkatan jumlah Masyarakat Orang Asli setuju menerima vaksin sudah makin meningkat, sekaligus menambah bilangan Orang Asli yang telah divaksin.
Kita mengharapkan Abdul Rahman dan pasukannya terus diberi peluang dan sokongan untuk membuktikan kepada dunia bahawa Masyarakat Orang Asli di Malaysia menyokong penuh program vaksinasi ini, sekali gus mereka percaya kepada teori ‘herd immunity’ yang sedang kita usahakan bersama.
Janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menganggu proses kerja sebegini kerana ia boleh mengagalkan keseluruhan impian kita bagi mengeluarkan diri daripada pandemik maut Covid-19.
Semoga kita semua benar-benar dapat membentuk ‘herd immunity’ di akhir tahun 2021 dengan tiada seorang pun penduduk yang layak menerima vaksin di negara ini boleh tercicir.
*Penulis merupakan seorang penganalisis sosial dan penulis bebas.
Sumber asal : NB