Oleh Sarfarizmal bin Saad
MEMBELANJAKAN wang rakyat sebanyak RM300 juta semata-mata untuk membeli sejenis ambulans sememangnya tindakan yang mengundang banyak persoalan.
Namun ramai yang lebih gemar untuk ‘menghentam’ daripada mendapatkan penjelasan lebih lanjut. Begitu juga halnya dengan bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad apabila menjadikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai mangsa belasahan?
Ternyata Dr Dzulkefly telah tersalah langkah ketika menyerang. Cubaannya untuk cuba mencalar reputasi kepimpinan KKM, sekali gus ‘mengganggu’ pasukan melawan Covid-19, memakan diri.
Yang disoalnya 500 unit ambulans jenis ‘negative pressure’ dibeli kerajaan pada kos RM300 juta.
Namun hakikatnya RM300 juta itu melibatkan 500 unit ambulans dari pelbagai jenis dan bukan semata-mata jenis ‘negative pressure’ yang dicanangkan bekas menteri Pakatan Harapan (PH) yang gagal itu.
Lebih kelakar, KKM mengeluarkan kenyataan balas dan membocorkan rahsia bahawa perancangan untuk pembelian 500 unit ambulans tersebut telah dirancang sejak tiga tahun lepas bagi menggantikan ambulans sedia ada yang tidak dapat beroperasi secara optimum.
Barangkali Dr Dzulkefly sendiri sudah dijangkiti penyakit ‘pembangkang mudah lupa’.
Menurut Menteri Kesihatan Adham Baba, perancangan pembelian ini telah dibuat semasa pentadbiran Menteri Kesihatan terdahulu dan sememangnya sudah diluluskan lebih awal untuk menggantikan ambulans yang rosak, telah dilupuskan, perlu diganti dan ditambah di kawasan yang memerlukannya.
Namun begitu apa salahnya negara kita membeli unit ambulans baharu? Apakah PH enggan sistem kesihatan rakyat di negara ini terus ditambah baik dan diperkemaskan mengikut kecanggihan teknologi serta kepadatan penduduk?
Tidak kisahlah sama ada jenis ambulans ‘negative pressure’ atau lain-lain jenis, hakikatnya tindakan kerajaan menambah unit ambulans di negara ini adalah tepat pada masanya.
Bukankah dalam masa sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah mengakui pihaknya menerima banyak aduan dalam kalangan penduduk di kawasannya yang dinafikan perkhidmatan ambulans oleh Hospital Serdang?
Semua ini gara-gara jumlah ambulans yang tidak mencukupi berbanding kepadatan penduduk sekitar radius sesebuah hospital berkenaan.
Sampai bila Dr Dzulkefly mahu melihat masyarakat di negara ini terpaksa mengambil inisiatif mengubah suai van untuk membawa pesakit ke hospital bagi menggantikan ambulans?
Ketika mana ADUN Seri Kembangan itu membidas Kerajaan Persekutuan yang didakwa lebih mementingkan politik dan gagal mengawal penularan Covid-19 dengan cekap, Dr Dzulkefly dan rakan-rakannya pula bertindak mengecam tindakan KKM untuk menyelesaikan kemelut yang sedang melanda sektor kesihatan sejagat.
Sepatutnya sebagai seorang bekas menteri, dia harus memberi sokongan terhadap mana-mana usaha kerajaan bagi memperkasakan sektor kesihatan awam di Malaysia. Begitu hal, dengan seorang lagi pemimpin utama PH yang tidak henti-henti memburukkan usaha untuk menangani pandemik Covid-19.
Kata orang, jika tidak boleh membantu lebih diam sahaja.
Lagipun, soal kesihatan tidak boleh ada kompromi. Jika ia terpaksa melibatkan jumlah kos yang tinggi sekali pun, kerajaan wajar mencari penyelesaian untuk menyelesaikannya pada kadar segera.
– BebasNews