Hanya 128,150 Syarikat Melibatkan 1.57juta Pekerja di Seluruh Negara Diberi Surat Kebenaran Operasi – Azmin

0
947

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata, setakat 7.30 pagi tadi hanya 128,150 syarikat yang melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh negara yang berdaftar dengan Intelligent Management System (CIMS) diberikan surat kebenaran operasi.

Beliau berkata, jumlah itu adalah berdasarkan keseluruhan permohonan 586,308 syarikat dengan 10.2 juta pekerja yang berdaftar dengan CIMS.

“Dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diumumkan ini, semua aktiviti ekonomi dan sosial tidak dibenarkan kecuali bagi 17 senarai perkhidmatan perlu dengan kapasiti tenaga kerja dihadkan kepada 60%,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmin berkata, sektor yang dibenarkan untuk beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKM) meliputi sektor pembuatan, pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi, pembinaan dan perdagangan pengedaran.

Dalam pada itu, Azmin menjelaskan MITI bukan penentu tunggal dalam memutuskan sama ada sesuatu sektor perniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya.

Katanya, Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab atas surat kebenaran beroperasi untuk institusi kewangan dan perbankan.

Tambah beliau, MITI mengambil maklum tentang aduan beberapa pihak yang mendakwa CIMS 3.0 dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 bagi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem itu.

“MITI melalui unit penguatkuasaan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here