Saturday, October 23, 2021
NASIONALDakwaan Skandal Tanah Lembaga Getah: Wujud Campurtangan Menteri, Kata Bekas Pengerusi

Dakwaan Skandal Tanah Lembaga Getah: Wujud Campurtangan Menteri, Kata Bekas Pengerusi

Bekas pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Ahmad Nazlan Idris menafikan dakwaan beliau terlibat dalam skandal tanah membabitkan perbadanan milik LGM iaitu, LGM Properties Corporation (LGMPC).

Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, ketika memegang jawatan sebagai pengerusi, Lembaga Pengarah LGM mengambil berat isu kegagalan urus tadbir LGMPC iaitu perbadanan milik LGM menyebabkan tiga jawatankuasa ditubuhkan selain tindakan serta langkah penambahbaikan turut dilaksanakan LGM.

“Namun menteri (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali) telah campur tangan dan membiarkan LGMPC (berjalan seperti biasa).

“Dalam isu sewaan tanah sebanyak 70 sen sekaki, LGM hanya bersetuju lima tahun campur 10 tahun namun menteri mahukan 5+10+10 menjadikan 25 tahun. Hasil yang boleh diperoleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion jika diuruskan dengan cara yang lebih baik berbanding hasil awal RM42 juta kepada syarikat milik rakyat Turki,” katanya dalam kenyataan.

Nazlan mengulas dakwaan mengaitkan dirinya dalam skandal itu selepas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Disember, 6 Januari dan 11 Mac yang didakwa berkait tanah dimiliki LGM dan penglibatan Khairuddin dalam skandal itu.

Khairuddin didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation dengan harga 70 sen sekaki persegi berbanding harga pasaran RM2.50 sekaki untuk tempoh 15+10 tahun dengan kenaikan kadar pajakan 10% setiap lima tahun.

Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 sekaki sedangkan harga pasaran adalah sekitar RM1,400 sekaki.

Mengulas lanjut, Nazlan berkata tindakan terakhir dilakukannya sebelum kontraknya tamat adalah menulis surat kepada Jabatan Warisan Negara kerana tanah itu adalah tanah warisan.

“Harus saya tekankan segala tuduhan terhadap diri saya (berkaitan skandal) adalah tidak benar dan saya telah cuba bersama dengan ahli lembaga pengarah yang lain menjalankan tugas dengan penuh integriti.

“Saya bersyukur dengan kerjasama ahli lambaga pengarah yang sangat bertanggungjawab dan saya juga rela disiasat SPRM mengenai perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nazlan turut memaklumkan beliau ada menerima surat lantikan daripada Khairuddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebagai pengerusi Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang baharu dan menolak tawaran itu.

Khairuddin pada 28 Mei lalu membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan liar mengaitkan beliau dan mendakwa ia berniat jahat yang sengaja dilakukan pihak tertentu untuk merosakkan dan mencalarkan imejnya.

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular