Saturday, October 23, 2021
POLITIK#KerajaanGagal Taktik Kotor Dimainkan Di Media Sosial, 79 Peratus Belia Puas Hati...

#KerajaanGagal Taktik Kotor Dimainkan Di Media Sosial, 79 Peratus Belia Puas Hati Dengan Muhyiddin – Exco Armada

Sebanyak 79 peratus golongan belia dalam lingkungan umur 21 hingga 30 tahun berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin.

Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Harris Idaham Rashid berkata, ini jelas membuktikan bahawa golongan tersebut akan menyokong Perdana Menteri berkenaan pada pilihan raya akan datang.

Justeru beliau berpendirian bahawa apa yang ditularkan sebelum ini menerusi #kerajaangagal tidak mencerminkan pendapat sebenar rakyat sebaliknya taktik kotor yang dimainkan di media sosial semata-mata.

“Kesimpulannya, kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terbukti berkesan dan diterima oleh masyarakat. #kerajaangagal yang tular terbukti tidak mencerminkan pendapat sebenar rakyat jelata dan ia hanyalah taktik kosong yang digembar-gemburkan oleh sebilangan kecil “influencer” media sosial.

“Aemada Nasional akan terus tetap menjadi pendorong utama kerajaan untuk meneruskan pentadbiran yang cemerlang ini demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau terdahulu memetik kajian bebas yang dilaksanakan oleh Merdeka Center bertajuk “Peninsula Malaysia Voter Perceptions On Issues, The Economy & Leadership”.

Dalam kajian tersebut, katanya, 70 peratus responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan mengurus pandemik Covid-19.

Jelas Harris, dapatan tersebut membuktikan bahawa langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membendung Covid-19 dan memulihkan ekonomi diterima baik rakyat termasuklah enam pakej rangsangan yang sebelum ini diumum.

Katanya lagi kajian itu turut mendapati 67 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri termasuk 83 peratus masyarakat Melayu dan 66 peratus masyarakat India mengutarakan persetujuan terhadap Perdana Menteri.

Manakala masyarakat Cina menunjukan 30% persetujuan.

“Armada Nasional berpuas hati dengan hasil dapatan ini kerana ia jelas menunjukkan bahawa penerimaan Perdana Menteri itu sangat kukuh dikalangan Melayu manakala dikalangan bukan Melayu secara purata berada dalam keadaan yang stabil,” tambahnya lagi.-MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular