Mural Papar 3 Wanita Bogel Timbulkan Keresahan Penduduk Kuala Selangor Diubahsuai

0
1016

Lukisan mural besar pada dinding sebuah balai seni yang terletak di Kampung Sungai Buloh, Kuala Selangor, menimbulkan kecaman orang ramai, terutama umat Islam.

Apa tidaknya, mural besar itu yang sedang disiapkan untuk satu pameran antarabangsa yang didakwa akan diadakan di Balai Seni Sasaran Kuala Selangor memaparkan tiga wanita bogel.

Mural besar itu dikatakan mula dilukis beberapa hari lalu dan mendapat perhatian masyarakat sekeliling, walaupun kawasan itu dikatakan dihuni majoriti penduduk Cina.

Penduduk sekitar yang melalui kawasan itu dikatakan terkejut dengan mural berkenaan dan berpendapat penganjur langsung tidak sensitif terhadap masyarakat sekeliling.

Apa lagi ketika ini umat Islam sedang berpuasa pada bulan Ramadan.

Bagaimanapun, sehingga lewat malam tadi penganjur dan pemilik bangunan itu sedang menutup mural berkenaan dengan kain. Tidak pasti sama ada mural itu dipadam atau diubahsuai.

Untuk makluman, Balai Seni Sasaran Kuala Selangor adalah projek komuniti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dimulakan lebih 10 tahun lalu dan turut dijadikan salah satu tempat tarikan pelancong di daerah Kuala Selangor.

Ia menempatkan pelbagai bahan dan objek seni yang juga boleh dibeli.

Sehubungan itu penduduk sekitar Kuala Selangor menggesa pihak berkuasa, terutama Majlis Daerah Kuala Selangor mengambil tindakan tegas supaya bulan Ramadan ini tidak dicemari dengan kegiatan ‘seni melampau’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here