Thursday, October 21, 2021
POLITIKRani Kulup Sertai PUTRA, Bakal Bertanding PRU15

Rani Kulup Sertai PUTRA, Bakal Bertanding PRU15

AKTIVIS Abdul Rani Kulup mahu bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini dengan menggunakan tiket Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Beliau yang merupakan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat keputusan menyertai politik selepas 22 tahun berjuang membawa suara rakyat melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selama ini saya berjuang, bersuara di depan balai polis, saya menyuarakan masalah rakyat dengan cara report polis hingga orang gelar saya ‘raja report’.

“Saya mahu melibatkan diri dalam politik sebab saya nak kuasa, kalau tak ada kuasa apa pun tak boleh buat. Jadi, andai kata saya masuk politik dalam PRU-15, sokonglah saya.

“Ini peluang saya nak ubah landskap politik tanah air, beri saya peluang ke Parlimen supaya saya boleh bersuara demi agama dan bangsa,” katanya seperti dilapor Utusan.

Abdul Rani ditemui pemberita selepas menghadiri Kongres Kembalikan Hak Yang Hilang anjuran Putra Perak, hari ini.

Kongres yang membincangkan isu tanah rizab Melayu itu dirasmikan Pengerusi Perhubungan Putra Perak, Datuk Hamidah Osman, manakala penutup oleh Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali.

Menurut Abdul Rani, dia memilih Putra kerana perjuangan dan hala tuju parti itu yang memperjuangkan bangsa Melayu, negara dan seluruh rakyat.

“Parti lain kucar kacir, kelam kabut. Putra satu-satunya harapan kepada bangsa Melayu.

“Begitupun, saya tak mahu lawan Umno, Pas atau parti lain, saya nak rakyat pilih saya ke Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Dr. Ibrahim mengesahkan Abdul Rani sudah menyertai Putra dan akan mengetuai Bahagian Bandar Tun Razak yang akan diumumkan pada majlis pelancaran malam esok.

“Sama ada dia akan bertanding (dalam PRU-15) itu saya tak boleh umum secara rasmi sebab Dewan Rakyat tak dibubarkan lagi dan keputusan menjadi calon diputuskan oleh Biro Politik parti, tapi dia berpotensi menjadi calon,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular