Susulan tular di laman media sosial, antaranya Twitter, yang memaparkan tangkap layar mesej mendakwa suntikan vaksin COVID-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi ‘laluan’ kepada 200 ahli SUK Kelantan, hari ini satu siaran akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Shafiq Abdullah bertajuk ‘PETUGAS KESIHATAN DILARANG UNTUK MEMBUAT PERNYATAAN AWAM TANPA KEBENARAN’ telah dikeluarkan.
Petugas kesihatan ditegah untuk memuat naik pernyataan awam berhubung pelaksanaan apa-apa dasar awam, program dan keputusan kerajaan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu.
Pernyataan yang tidak wajar dan dibuat tanpa usul periksa bukan sahaja menjejaskan imej penjawat awam, malah boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan dalam masyarakat serta menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam dan kerajaan.
Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, KKM memandang serius berhubung dengan salah laku dalam penggunaan media sosial dan kecenderungan pegawai membuat pernyataan awam secara tidak wajar.
“Setiap pegawai di KKM dari masa ke masa diingatkan supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa menggunakan media sosial dan menjaga batas-batas penggunaannya agar tidak terjebak sebagai salah laku yang boleh dikenakan hukuman tatatertib.
“Setiap kes yang diadukan atau dikenal pasti sekiranya disabit kesalahan, hukuman tatatertib akan dikenakan berdasarkan kepada peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian merujuk kepada edaran pernyataan awam yang tersebar dalam media sosial mengenai pelaksanaan pemberian vaksin yang kononnya ditulis oleh petugas kesihatan KKM.
Mohd Shafiq berkata, peraturan berkaitan dengan etika dan tata kelakuan dalam perkhidmatan awam khususnya berkaitan dengan penggunaan media sosial dan tegahan membuat pernyataan awam secara tanpa kebenaran, bukanlah bertujuan menghalang mana-mana pegawai untuk bersuara.
“Ia lebih kepada memastikan pegawai menggunakan saluran maklum balas dan aduan yang betul serta menjaga imej dan kredibiliti pegawai, perkhidmatan awam dan kerajaan,” katanya.
Lantaran kenyataan akhbar yang dikeluarkan itu, ada warganet dilihat tidak berpuas hati dan menyifatkan petugas Kementerian Kesihatan yang dikatakan membuat pendedahan berkaitan perkara tersebut mungkin bakal dikenakan tindakan tatatertib.
Pemilik akaun Facebook Bee Kay melalui hantarannya menulis;
Petugas kesihatan yg mendedahkan 200 org dlm SUK Kelantan cuba potong giliran utk suntik vaksin mungkin akan dikenakan tindakan tatatertib.
Beginilah akibatnya bila pengadilan dilakukan menggunakan sistem yg sudah rosak dirogol.
Kalau tidak kerana pendedahan petugas itu, mungkin hari ini 200 org yg trsenarai dlm list itu sudah lepas divaksin.
Kalau juga pendedahan petugas itu dibuat melalui “saluran yg betul” spt yg dinyatakan majikannya, pasti jua 200 org itu sudah lepas divaksin.
Beginilah realiti dunia. bkn hari ini, bkn semalam, sejak berkurun beginilah kaedah si TUAN utk mengugut dan menutup mulut hamba bawahan, menggunakan peraturan yg dicipta utk menjaga kepentingan kasta atasan shj..