Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub hari ini mengkritik pengumuman yang dibuat Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin semalam berhubung tarikh baru sekolah akan dibuka.
Melalui hantaran Facebook yang dibuat, beliau menulis;
Saya bersimpati dengan masyarakat di Malaysia.
Ada yang bergolok gadai dan berhutang untuk belikan anak-anak komputer peribadi dan tab untuk PdPR.
Tiba-tiba diumumkan 1 & 8 Mac 2021 sekolah akan dibuka mengikut tahun.
Tak cukup dengan itu, TV Didik baharu sahaja dilancarkan.
Apakah perancangan yang sebenarnya?
Kenapa tidak tersusun sehingga membebankan rakyat?
Apa bezanya sekolah dibuka pada 1 Mac berbanding buka awal Januari lalu?
Adakah Kerajaan sebenarnya hilang fokus tentang permasalahan rakyat?
Sekolah boleh dibuka, Parlimen masih digantung!
Saya mengalu-alukan sekolah dibuka demi masa depan anak-anak kita, akan tetapi, buatlah perancangan sebaik-baiknya jangan sampai menyusahkan ibubapa dikala ramai yang terhimpit dan terbeban dengan krisis kesihatan dan krisis ekonomi.
Berdasarkan pengumuman yang dibuat Radzi semalam, dapat digariskan bahawa Sekolah rendah, kolej vokasional dan sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan umum masing-masing akan dibuka pada 1 dan 8 Mac ini.
Kumpulan yang akan mula bersekolah pada 1 Mac ini ialah murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara manakala Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula pada 8 Mac.
Pelajar kolej vokasional bagi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun Satu Semester Dua dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun Satu Semester Dua akan hadir ke institusi masing-masing pada 1 Mac ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata bagi sekolah swasta, ia secara umumnya mengikut jadual sekolah kerajaan sama ada bagi sekolah rendah dan menengah.