MEMASUKI Februari, Malaysia mencatatkan lebih 230,000 kes positif COVID-19 dan lebih 900 nyawa terkorban.
Usaha pencegahan dilakukan kerajaan kini hanya mampu untuk tempoh masa singkat, namun tidak sesuai berterusan sebegini hingga bila-bila.
Oleh itu, proses vaksinasi kepada sekurang-kurangnya 70 peratus populasi negara wajar dilakukan segera sekiranya mahu kembali kepada norma biasa.
Justeru, kerajaan memperuntukkan pembelian vaksin daripada Pfizer-BioNTech, COVAX dan AstraZeneca-Oxford dengan anggaran sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk akan dibekalkan vaksin pada 2021, sebagai permulaan.
Namun, isu utama adalah penolakan penerimaan vaksin oleh masyarakat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenal pasti penolakan vaksin sebagai ancaman kesihatan global kerana tindakan itu faktor utama kemunculan semula penyakit berjangkit.
Bukan golongan antivaksin sahaja, di negara kita ada juga kelompok masih was-was mengambil vaksin, walaupun mereka tidak menolak keberkesanan vaksin.
Dengan semangat ‘kita jaga kita’, penting semua pihak sama-sama berjiwa besar dan berfikiran lebih jauh dalam usaha melawan pandemik.
Kita tiada pilihan melainkan masing-masing turut serta melakukan promosi kebaikan pengambilan vaksin untuk menyekat penyebaran penyakit berjangkit.
Dalam hal ini, teringat seruan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang pernah menyuarakan pada sidang Dewan Rakyat tahun lalu. Hujah beliau cukup mudah difahami, iaitu pengambilan vaksin lebih banyak kebaikan berbanding kemudaratan.
Untuk rekod, negara sudah lama mengamalkan proses pengambilan vaksin sehingga ada 12 jenis vaksin dalam Program Imunisasi Kebangsaan selama ini.
Ramai golongan antivaksin enggan mengambilnya kerana setiap vaksin ada kesan sampingan yang dianggap buruk. Namun, harus diketahui umum, kesan ini hanya bersifat sementara, bukan kekal.
Contoh vaksin demam campak diberikan kepada kebanyakan anak kecil, walaupun terkena demam campak, tetapi demam dapat dikawal, kesan bintik terkawal, tidak seperti kesan zaman dahulu ketika wabak campak menyerang negara ini ketika vaksin belum ditemui.
Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2013, statistik demam campak meningkat daripada 195 kes kepada 1,934 kes pada 2018, iaitu peningkatan 891.8 peratus dalam tempoh lima tahun.
Bilangan kes demam campak yang tiada imunisasi pula meningkat daripada 125 kes (68.7 peratus) pada 2013 kepada 1,467 kes (75.9 peratus) pada 2018.
Inilah sebab dan fungsinya kita gerakkan vaksinasi. Ia bagi mengelak kemudaratan lebih teruk seperti penularan virus hingga menyebabkan kecacatan kekal dan kematian.
Semua ini bagi membentuk rakyat kita yang memiliki ketahanan badan terbaik dalam melawan virus di sekeliling. Lihat contoh angkasawan negara kita bagaimana mampu menempuhi ujian demi ujian ketahanan fizikal dan mental, sebelum berjaya ke angkasa lepas.
Walaupun banyak pihak sedar kepentingan vaksin, kerajaan tetap bertoleransi dengan tidak bercadang mewajibkan semua rakyat mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19, sebaliknya hanya diberi secara sukarela, terutama kepada barisan hadapan dan golongan berisiko.
Oleh itu, jangan ‘menangguk di air keruh’ dengan memandang rendah proses pengambilan vaksinisasi.
Bebas penyakit berjangkit dianggap hak perlu dipelihara, namun ia ditentukan sikap masyarakat. Hak itu ditentukan berapa peratus masyarakat menerima liputan vaksin. Jika peratusan tidak mencapai had imuniti kelompok, wabak akan berlaku.
Ayuh jadi masyarakat bertanggungjawab. Keengganan menerima vaksin adalah sikap tidak bertanggungjawab yang bakal menafikan hak masyarakat untuk bebas daripada penyakit berjangkit berbahaya seperti COVID-19.
Ibn Said,
Putrajaya