Tolong Cepatkan Kebenaran Pengeluaran Akaun 2 KWSP Untuk Rakyat Beli Insurans – Jalaluddin

0
461

Sewaktu pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020 yang lalu, Menteri Kewangan Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz menyebutkan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP akan membenarkan pencarum membuat pengeluaran daripada Akaun 2 untuk membeli produk perlindungan insurans dan takaful hayat, serta penyakit kritikal bagi diri dan keluarga yang diluluskan oleh KWSP.

Langkah ini mendapat pujian kerana ianya sedikit sebanyak dapat membantu seisi keluarga mengurangkan komitmen bulanan dan mengurangkan risiko mereka di saat kecemasan.

Dalam keadaan pandemik ketika ini ditambah dengan ekonomi yang masih tidak stabil, banyak keluarga yang terpaksa untuk menyusun semula perbelanjaan mereka bagi mengurangkan komitmen bulanan, dan antara pilihan yang mereka ada ialah untuk membatalkan polisi insurans sedia ada ketika ini.

Merasai isu ini cukup penting kepada kebajikan rakyat, Ahli Parlimen Jelebu tampil membuat kenyataan rasmi melalui laman Facebooknya.

“Saya lihat ini satu langkah yang kurang baik kerana polisi kesihatan, takaful hayat atau penyakit kritikal yang mereka miliki ini ibarat “payung” yang akan melindungi mereka jika “hujan” kelak.

“Namun begitu saya faham, ada di kalangan mereka terpaksa mengambil langkah sedemikian atas faktor kekangan pendapatan dan rasionalisasi perbelanjaan bulanan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, sehingga ke saat ini sudah sebulan lebih tiada sebarang perkembangan terkini untuk inisiatif itu dapat dimanfaatkan oleh rakyat yang memerlukan.

Datuk Seri Jalaluddin Alias tampil mempersoalkan pihak kerajaan melalui aduan yang diterima olehnya dari rakyat yang mengadu kepada beliau.

“Sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang pengumuman yang dibuat oleh pihak KWSP berkenaan kaedah dan prosedur pengeluaran Akaun 2 untuk tujuan ini. Ramai juga rakyat yang berjumpa saya bertanyakan berkenaan hal ini, tapi saya tidak ada jawapan untuk diberikan.

“Saya berharap agar perkara ini dapat diputuskan dengan segera sebelum ramai lagi rakyat di luar sana yang terpaksa membuang “payung” yang telah lama mereka sediakan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

“Sekurang-kurangnya jika mereka yang mempunyai polisi insurans ini perlu untuk mendapatkan rawatan di hospital, mereka punya pilihan untuk ke hospital swasta, sekaligus mengurangkan beban kepada barisan hadapan di hospital kerajaan yang sedang sibuk berperang dengan pandemik COVID-19 ketika ini.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dengan nasib rakyat, apa sahaja perkara yang boleh dilakukan dengan tujuan untuk membantu rakyat, memudahkan urusan rakyat, kita harus percepatkan,” tambahnya lagi. – MSentral

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here