Pekerja-pekerja di sebuah syarikat penyediaan makanan dalam penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini bekerja dalam ketakutan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan kakitangan dan vendor syarikat berkenaan.
Difahamkan seorang kakitangan syarikat itu meninggal dunia akibat Covid-19 pada 30 Januari lalu selepas dijangkiti Covid-19 di tempat kerja.
MalaysiaGazette difahamkan ketika berita ini ditulis seramai 42 kakitangan syarikat itu dan 10 orang vendor MAS Aero telah dijangkiti dan kini ada yang diarahkan kurantin kendiri dan di beberapa hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Kebimbangan kakitangan-kakitangan syarikat itu disebabkan penularan jangkitan wabak itu berlaku dengan cepat sehingga menimbulkan keadaan cemas dalam kalangan kakitangan.
Rata-rata mereka bimbang penularan besar-besaran yang berlaku di kilang Top Glove akan terjadi di syarikat tersebut jika tindakan proaktif tidak dilakukan dengan segera oleh syarikat berkenaan.
MalaysiaGazette difahamkan jangkitan itu kebanyakan berlaku dalam kalangan kakitangan operasi yang mengendalikan bahagian logistik dan dapur.
Kementerian Kesihatan telah datang untuk menjalankna ujian saringan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) dan RT PCR beberapa hari lalu susulan pertambahan kes.
Tetapi apa yang dikesalkan ialah kakitangan yang negatif ujian RTK masih diminta datang ke pejabat termasuk petugas-petugas pentadbiran yang sepatutnya boleh bekerja dari rumah.
Rata-rata kakitangan menyifatkan keadaan itu merungsingkan mereka kerana majikan masih mendedahkan pekerja kepada risiko jangkitan Covid-19.
Susulan itu, kakitangan-kakitangan syarikat mempersoalkan mengapa kakitangan yang negatif dalam ujian RTK masih diminta bertugas sedangkan setiap orang berisiko tinggi dijangkiti disebabkan penularan virus tersebut di tempat kerja.
Kebimbangan ini mengambil kira kemungkinan besar kakitangan yang negatif dalam ujian RTK ada kebarangakalian positif kerana ia berlaku sebelum ini.
Keyakinan itu berdasarkan rata-rata kakitangan yang positif mempunyai kontak rapat dalam kalangan rakan-rakan sepejabat.
Menurut sumber, kakitangan sedar kebimbangan syarikat tentang operasi yang semakin tertekan disebabkan kekurangan bekerja apabila syarikat melaksanakan pembuangan pekerja pada Julai tahun lalu, di samping bekalan makanan kepada syarikat penerbangan boleh dikira dengan jari disebabkan pandemik ini.
Namun, tindak tanduk syarikat berkenaan yang enggan mematuhi saranan kerajaan supaya kakitangan yang tidak ada keperluan di pejabat bekerja di rumah menjadi tanda tanya.
Sehubungan itu, kakitangan-kakitangan syarikat ini kebimbangan mereka mendapat perhatian Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan pertambahan Kluster Tempat Kerja. – MalaysiaGazette