Saturday, October 23, 2021
ISU SEMASAMKN Dah Beri Kebenaran, Ebit Lew Dah Boleh Masuk

MKN Dah Beri Kebenaran, Ebit Lew Dah Boleh Masuk

Individu memerlukan kebenaran khas untuk memasuki mana-mana kawasan kendalian Taman-Taman Sabah, khususnya pulau yang kini ditutup kepada orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah dalam satu kenyataan di laman media sosialnya, memaklumkan kawasan pulau di Semporna adalah kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

 

Katanya, seperti mana yang dimaklumkan di media sosial rasmi pada 12 Januari lalu, seluruh kawasan Taman-Taman Sabah ditutup sementara kepada orang awam bermula 13 Januari lalu selaras pelaksanaan PKP.

 

“Rombongan penceramah bebas, Ebit Lew adalah rombongan orang awam yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP dan pada masa sama, pihak Taman-Taman Sabah tidak menerima makluman awal untuk kebenaran khas memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

 

“Pihak Taman-Taman Sabah membenarkan rombongan Ebit memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran hanya selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

“Kita sangat menyokong usaha murni bantuan prihatin yang disalurkan kepada komuniti di dalam semua Taman di seluruh Sabah,” jelas kenyataan itu.

 

Sebelum ini, kerajaan Sabah menafikan ada mengeluarkan arahan melarang Ebit meneruskan kerja amal di pantai timur Sabah.

 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, dilaporkan berkata pihaknya juga merujuk sama ada polis atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ada mengeluarkan larangan terhadap penceramah berkenaan.

 

“Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada sesiapa saja untuk melaksanakan kerja kebajikan di negeri ini. Polis dan ESSCOM juga menyatakan perkara sama.

 

“Cuma, di pantai timur Sabah tertakluk kepada peraturan perintah berkurung, malah dilarang pergi ke tempat tertentu kerana ada risiko keselamatan,” katanya.

 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali pula dilaporkan berkata, pihaknya tidak menghalang atau mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan program Ebit di kawasan itu.

 

“Bagaimanapun, Ebit digalakkan merujuk pihak berkuasa seperti polis dan MKN berikutan lokasi terbabit dikenakan perintah kawalan berkurung serta keselamatan orang ramai menjadi keutamaan,” katanya.

 

Ebit dalam perkongsiannya di akaun Facebook menyatakan tidak dapat meneruskan misi bantuan di beberapa pulau di Semporna kerana tidak dibenarkan ke pulau terbabit selain diminta menghentikan bantuannya di daerah itu.

 

Beliau juga menyatakan terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang dirancangnya walaupun sudah menyediakan peralatan seperti kayu.

 

Menurut kenyataan itu, pembinaan struktur bangunan di dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran juga tertakluk kepada prosedur dan garis panduan yang ditetapkan.

 

“Perkara ini berkaitan dengan kepentingan komuniti penuntut hak waris di pulau-pulau ini seperti yang terkandung dalam Surat Pewartaan Taman Marin Tun Sakaran tahun 2004,” katanya.

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular