Thursday, October 21, 2021
ISU SEMASAIsu Fatwa Sesat 'Ibu Yati' : Menteri Kata Muzakarah Dulu Dengan Semua...

Isu Fatwa Sesat ‘Ibu Yati’ : Menteri Kata Muzakarah Dulu Dengan Semua Negeri

Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan bermuzakarah bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri sebelum memfatwakan sesuatu ajaran itu sebagai sesat atau sebaliknya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

 

Katanya, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, ia perlu dilakukan dengan amat berhati-hati bagi memastikan tindakan atau keputusan yang diambil kelak tidak dianggap gopoh atau kekurangan maklumat.

 

“Kita tidaklah nak menyatakan sesuatu (ajaran) itu dengan sepantas itu melainkan perkara yang telah disepakati,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli Musaadah 2.0 dan Misi Bantuan Pasca Banjir di Putrajaya hari ini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Yadim Nasrudin Hassan.

 

Mengulas sama ada Islam Melayu yang didakwa dibawa oleh ‘Ibu Yati’ atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias sudah difatwakan sebagai sesat, Zulkifli berkata pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada pihak berkuasa agama dari negeri yang terbabit dengan ajaran itu.

 

“Saya cukup berhemah dan berhati-hati dalam masalah ini kerana mengambil pandangan Imam Malik selama mana dapat takwil (penjelasan), cuba takwil yang baik-baik dahulu, melainkan perkara itu memang perkara yang jelas atau perkara itu sudah dikeluarkan satu fatwa atau warta, maka itu barulah kita katakan tidak dibenarkan,” katanya.

 

Sebelum ini, Nasrudin dilaporkan menasihatkan agar orang ramai tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang didakwa dibawa individu dikenali sebagai “Ibu Yati”, yang turut didakwanya menggunakan lafaz syahadah yang pelik.

 

Sementara itu, Nasrudin berkata pihaknya tidak akan mengemukakan permohonan maaf kepada Ibu Yati susulan laporan polis yang dibuat wanita itu yang memberi Nasrudin tempoh tujuh hari untuk mengemukakan permohonan maaf kepadanya atas dakwaan yang dibuat Yadim.

 

Malah, Nasrudin berpendapat Yadim tidak perlu membuat laporan polis kerana dimaklumkan terdapat lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

 

“Islam yang diamalkan pada masa sekarang merupakan Islam yang sebenarnya yang diwahyukan Allah melalui al-Quran dan al-Sunah.

 

“Islam itu adalah universal. Tiada istilah Islam Arab mahupun Islam Melayu,” katanya.

– Bernama

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular