Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang sedang menunggu untuk didaftarkan di bawah ROS tampil memberi cadangan yang pedas.
Memandangkan kes baharu Covid-19 makin meningkat, parti yang diasaskan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ini mencadangkan agar Menteri Kesihatan Dr Adham Baba meletak jawatan.
Dia juga meminta dua timbalan menteri iaitu Dr Noor Azmi Ghazali dan Aaron Ago Dagang bersama-sama semua pegawai lantikan politik ditamatkan perkhidmatan.
MUDA mencadangkan agar semua kuasa yang dipegang Menteri Kesihatan diserahkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah.
Atas alasan apa MUDA melontarkan cadangan tersebut?
Ia berikutan kes baharu Covid-19 makin menjadi-jadi walaupun kerajaan telah perkenalkan PKP dan darurat. Sebagai contoh, kes pada 30 Januari 2020 sahaja mencatat angka 5,728 kes baharu dalam tempoh 24 jam.
Jika mengikut logik akal Syed Saddiq dan MUDA ini, adalah cukup releven sekiranya Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan penasihat task force Selangor berkaitan melawan Covid-19 ini iaitu Dr Dzulkefly Ahmad turut melepaskan jawatan mereka.
Kenapa pula mereka berdua ini perlu letak jawatan? Apa dosa mereka?
Jika kita lihat statistik yang diumumkan oleh Dr Noor Hisham yang dicadangkan MUDA supaya mengambil alih pentadbiran KKM itu, secara konsistennya Selangor mencatatkan kes baharu minimum 1,000 kes setiap hari, sejak beberapa minggu lalu.
Atas hujah yang sama yang Syed Saddiq dan MUDA cuba ketengahkan, persoalan kita semua adalah apakah intervensi dan tindakan drastik yang diambil oleh dua ‘Ayam Tambatan’ PH ini dalam menyelamatkan rakyat Selangor dari dijangkiti virus itu?
Sekadar mengambil contoh, cuba jadi seperti Kerajaan Negeri Sabah, mereka mengambil langkah dengan laksanakan PKP lebih ketat semasa kes melambung tinggi. Tengok juga Kerajaan Negeri Perlis, bagaimana mereka menggunakan kaedah ‘psy war’ kepada penduduk negeri itu sehingga tiada kes tinggi dicatatkan di sana.
Adakah Kerajaan Negeri Selangor takut dihamun, dimaki dan sokongan ditarik balik daripada tokey-tokey kilang dan taikun-taikun industri jika kerajaan perketatkan perintah kawalan, daripada menjaga kesejahteraan dan keselamatan nyawa rakyat sendiri?
Bukan apa, mereka ini seperti mengata orang dia yang lebih. Ketika Dr Dzul dengan bernafsu menuduh KKM tak buat kerja hingga kes harian makin menjadi-jadi, dia mungkin tak sedar pada hari yang sama Selangor mencatatkan angka tertinggi dengan 3,285 kes harian, sementara 13 lagi kes kematian direkodkan.
Padahal dia adalah penasihat dan ketua bagi task force untuk melawan Covid-19 di Selangor. Kalau pandai bagai dikata, cuba laksana dahulu di Selangor. Cuba guna otak yang konon geliga itu untuk turunkan kes baharu dan kes kematian di Selangor terlebih dahulu sebelum pertikai kerja KKM.
Jadi, dengan berpandukan kepada alasan Syed Saddiq dan MUDA, maka wajar untuk MB Selangor dan penasihat Covid-19 di Selangor ini melepaskan jawatan mereka juga.
Jangan biarkan mereka berdua ini kekal menikmati elaun, gaji dan upah puluhan ribu ringgit (untuk kedua-dua mereka), adalah lebih berfaedah wang itu disalurkan kepada Ustaz Ebit Lew dan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan.
Nak lagi menarik apa kata lantik sahaja Ustaz Ebit Lew jadi MB Selangor atau penasihat task force Covid-19 di negeri itu. Apa macam, ada berani tak? – MSentral