PKP 2.0 Membuatkan Kerja Ah Long Makin Sibuk?

0
370

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang diumumkan kerajaan dilihat sebagai satu tindakan proaktif, dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di negara, selepas ia makin ‘menggila’ sejak Oktober lalu.

Di sebalik kegusaran rakyat terhadap wabak COVID-19, ada perkara lain yang lebih membimbangkan mereka susulan pengumuman pelaksanaan PKP 2.0 dan proklamasi Darurat baru-baru ini.

Majoriti risau akan keupayaan kewangan diri, bimbang jika gagal menyediakan makanan di atas meja untuk seisi keluarga terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah atau bergaji harian.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dalam pertemuan bersama Getaran baru-baru ini berkata, pihaknya menjangkakan golongan yang terdesak ini akan mengalih pandangan mereka terhadap cara mudah untuk mendapatkan ‘bantuan kewangan’ iaitu menerusi pinjaman Ah Long.

Menurutnya, PKP 2.0 yang diumumkan adalah kejutan tahun 2021 kepada rakyat Malaysia dan ia sangat membimbangkan.

Beliau berkata, golongan berpendapatan rendah pastinya menunggu ‘berita baik’ daripada kerajaan susulan pelaksanaan PKP 2.0 seperti pengumuman bantuan yang diperoleh mereka pada PKP tahun lalu.

“Bantuan yang diumumkan kerajaan pasti sedikit sebanyak melegakan namun berdasarkan aduan yang diterima PPIM pada tahun lalu, ia tidak menunjukkan penurunan sebaliknya meningkat berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Nadzim berkata, statistik PPIM mendapati, bilangan golongan berpendapatan rendah yang membuat pinjaman Ah Long pada tahun lalu meningkat sehingga 30 peratus berbanding tahun sebelum.

“Senario berkenaan berlaku susulan pelaksanaan PKP bermula Mac hingga Mei 2020, menyebabkan pendapatan golongan terbabit terjejas.

“Ia bukan hanya membabitkan golongan berpendapatan rendah, aduan turut diterima daripada kalangan ahli perniagaan yang turut terjebak, semata-mata untuk memastikan kelangsungan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, PPIM menerima 6,537 aduan di seluruh negara membabitkan kes pinjaman Ah Long, sepanjang tahun lalu.

Jelas Nadzim, dapatan statistik juga menunjukkan bahawa komuniti bandar berada pada senarai teratas membabitkan pinjaman Ah Long, susulan kemelut kewangan yang melanda ekoran pandemik COVID-19.

“Walaupun gangguan yang dilakukan Ah Long bukan seratus peratus berbentuk fizikal, ia sudah memadai mencetuskan tekanan emosi, malah ada yang takut untuk meninggalkan rumah kerana berasa terancam.

“Perkara sebegini harus dipertimbangkan oleh kerajaan, bagi membolehkan golongan terbabit tidak mencari jalan mudah dengan beralih kepada Ah Long, sebagai solusi terhadap masalah kewangan dihadapi,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, pihaknya turut menerima aduan membabitkan hutang mangsa yang meningkat berkali ganda berbanding jumlah asal pinjaman.

Getaran diberitahu, hutang itu yang sekadar berjumlah RM700 pada awalnya, melonjak berkali ganda dalam tempoh tidak sampai sebulan.

“Bayangkan, seorang pelajar meminjam hanya RM700 untuk menyelesaikan bayaran pelajarannya namun terpaksa membayar semula hampir RM100,000.

“Mangsa bukan saja mengalami gangguan emosi malah keluarganya turut diganggu oleh Ah Long yang mahu hutangnya diselesaikan dengan segera,” katanya. – Getaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here