“Buruk Sangat Ke Muka Norlia Ghani?”

0
961

Dibanding-bandingkan dengan bekas ratu cantik Malaysia, Kavita Sidhu, pelakon veteran Norlia Ghani langsung terkenang generasi terdahulu yang diajar untuk beradab sopan.

Kata Norlia pada zaman sekarang anak-anak muda sudah jauh berbeza berbanding dulu kerana mereka mudah terpengaruh dengan media sosial.

“Terima kasihlah pada orang yang dah buat nama saya trending (sohor kini) di Twitter. Saya tak marah walaupun itu perbuatan tidak beradab sebenarnya.

“Budak zaman sekarang dengan era saya masa muda belia dulu jauh beza,” katanya.

Menurut Norlia lagi jika waktu dulu anak muda memang diajar untuk menjaga adab, bersopan santun dan menghormati orang lain.

Namun katanya keadaan sekarang ternyata berbeza.

“Tak apalah, saya pun biarkan sahaja. Cuma, dua ke tiga hari ini nama saya terasalah popular semula. Banyak pihak penyiar seperti radio dan TV yang cari saya untuk temubual,” katanya.

Norlia yang berlakon sejak 1968 dan cukup popular dengan pelbagai watak termasuk sebagai Joyah dalam drama bersiri Opah berkata kejadian yang berlaku mungkin boleh membuatkan umum kembali mengingati namanya.

Usah rendah-rendahkan orang lain

“Kiranya daripada nama Norlia Ghani itu mungkin orang dah tak ingat lagi, tiba-tiba saja kerana perbandingan kecantikan Kavitha Sindhu pada usia 49 tahun itu dikaitkan dengan saya, terus jadi popular tiba-tiba,” katanya dipetik Harian Metro.

Isu itu menjadi sohor kini kelmarin gara-gara ciapan rawak satu akaun parodi membandingkan kecantikan Kavita yang pernah pelakon dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam dengan Norlia.

“Kavita Sidhu umur 49. Engkau orang umur 30 dah rupa Norlia Ghani,” ciap pemilik akaun parodi @IsteriNajib itu.

Ciapan itu diiringi dengan beberapa tangkap layar imej Kavita termasuk foto dia berbikini.

Kavita melalui Instagramnya pula menggesa pengguna alam maya untuk menanamkan sikap baik sesama manusia dan berhenti merendah-rendahkan orang lain.

Kata aktres itu, dia menghormati Norlia sebagai seorang pelakon senior, bintang filem dan ibu pelakon Rusdi Ramli.

Nama Norlia juga menjadi sohor kini hingga mengatasi tanda pagar #SiBodohKauDengarSini kelmarin.

Walaupun cuba dimalukan oleh individu berkenaan di Twitter, namun Norlia, 72, berkata dia tidak terfikir mahu mengambil tindakan balas kerana enggan memanjangkan isu berkenaan.

“Saya tak fikir nak saman orang itu pun. Malah, saya sampai sekarang memang aktif berlakon sahaja.

“Kalau media sosial itu adalah kemas kini Instagram dan Facebook. Saya tak ada Twitter dan dapat tahu yang nama ‘trending’ ini pun daripada cucu.

“Pada mulanya, terkejutlah juga saya sebab terfikir buruk sangat ke muka Norlia Ghani sampai dibuat perbandingan sebegitu? Tapi, lantaklah tak payah peduli sangat pun,” katanya.

Norlia berkata apa yang penting ketika ini adalah untuk memikirkan situasi semasa ketika negara dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan berlanjutan dan aktiviti penggambaran tidak dibenarkan.

Katanya, dia lebih memikirkan faktor untuk kelangsungan hidup kerana pendapatanannya memang bergantung sepenuhnya dalam bidang lakonan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here