Mohon Mudahkan Urusan Salur Bantuan PERMAI Kepada Rakyat – Jalaluddin

0
522

Pemimpin UMNO mengalu-alukan inisiatif bantuan kepada rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang Isnin, 18 Januari bagi mengurangkan beban ditanggung.

Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berpandangan bahawa Bantuan PERMAI yang diumumkan bersempena Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua (PKP 2.0) ini merupakan suatu gambaran jelas betapa pihak kerajaan peka terhadap permasalahan rakyat yang disuarakan banyak pihak.

Antara yang memberi pandangan, kritikan dan saranan kepada pihak kerajaan adalah barisan pemimpin UMNO sama ada yang berada dalam kabinet kerajaan ataupun tidak.

“Seperti yang saya sendiri dan rakan-rakan dalam Umno pernah desak sebelum ini, keputusan PKP 2.0 dan proklamasi darurat patut disertakan dengan tindakan kerajaan memberi bantuan kepada rakyat.

“Justeru melalui Pakej Bantuan PERMAI ini, saya menyahut baik segala bentuk bantuan oleh kerajaan yang saya sifatkan sebagai suatu usaha untuk mengharmonikan semula kehidupan rakyat sejagat,” katanya melalui satu kenyataan yang dikirimkan kepada Portal TulisOnline.

Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut mendesak kerajaan agar mempermudahkan segala proses penyaluran bentuk bantuan kepada rakyat tanpa adanya pelbagai karenah birokrasi yang menyulitkan keadaan.

“Saya berharap agar semua 22 inisiatif yang disenaraikan di bawah PERMAI ini dapat disegerakan dan tidak menyulitkan rakyat dengan karenah birokrasi yang pelbagai,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa UMNO terutama beliau sendiri akan terus menjadi pendesak dan pembela kepada nasib rakyat sekiranya pihak kerajaan ini melaksanakan dasar yang tidak memikirkan soal kebajikan rakyat.

Namun, sekiranya pihak kerajaan pimpinan Muhyiddin ini sentiasa mendahulukan nasib rakyat dalam tindakannya, maka beliau akan terus menyatakan sokongan berasaskan pandangan parti beliau sendiri yakni UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here