Saturday, October 23, 2021
ISU SEMASAProklamasi Darurat Tanda Yang Di-Pertuan Agong Prihatin Kepada Rakyat

Proklamasi Darurat Tanda Yang Di-Pertuan Agong Prihatin Kepada Rakyat

PROKLAMASI DARURAT TANDA YANG DI-PERTUAN AGONG PRIHATIN KEPADA RAKYAT

1. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID19 di Malaysia.

2. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

3. Rakyat tidak perlu berasa panik dengan istilah ‘darurat’ ini kerana ianya sama sekali tidak menyamai dengan darurat pada tahun 1969 dahulu. Apa yang diisytiharkan pada hari ini adalah bertujuan untuk menggantung Parlimen bagi tempoh tertentu, supaya kita semua dapat menumpukan perhatian kepada usaha membendung penularan COVID-19.

4. Untuk memudahkan pemahaman umum, seperti yang telah diulas oleh pakarpakar perlembagaan dan akademik sebelum ini, Proklamasi Darurat di tahun 2021 ini adalah menyamai kaedah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang digunapakai oleh negara kita sejak 18 Mac 2020 lalu.

5. Tiada sebarang pergerakan tentera di setiap tempat-tempat awam, tiada pagar berkawat, tiada kereta kebal di jalan raya untuk mengawal pergerakan orang awam. Jadi, rakyat jangan terlalu risau dengan proklamasi ini.

6. Ini sebenarnya sebuah gambaran betapa Yang di-Pertuan Agong cukup sayangkan rakyat dan negara ini kerana Tuanku tidak mahu sebarang pilihan raya diadakan sepanjang tempoh ini.

7. Kita perlu sedar, situasi pandemik Covid-19 semata-mata tidak menghalang untuk sebarang pilihan raya diadakan jika berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Justeru hanya perintah darurat sahaja yang mampu untuk mengawal keadaan ini. Inilah yang dikehendaki majoriti rakyat di negara ketika ini, dan bertuahlah kita kerana ia mendapat keprihatinan Tuanku sendiri.

8. Justeru saya merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong kerana amat cakna dan prihatin terhadap nasib rakyat jelata.

9. Marilah kita sama-sama mematuhi titah perintah Yang di-Pertuan Agong ini untuk memastikan tidak ada suasana tegang yang berlaku dan penularan COVID-19 dapat dihentikan dengan segera.

10. Terus kekal menjaga diri dan keluarga, sentiasa menjaga SOP, amalkan kebersihan diri yang tinggi, dan elakkan keluar rumah jika tidak perlu. Kepada Allah kita berserah.

Sekian, terima kasih.

 

YB DATUK HAJI JALALUDDIN BIN ALIAS
AHLI MAJLIS KERJA TERTINGGI UMNO,
AHLI PARLIMEN JELEBU,
KETUA UMNO BAHAGIAN JELEBU.

12 Januari 2021

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular