Saturday, October 23, 2021
POLITIKPAS Putuskan Tidak Sertai Pembentukan Kerajaan Baharu Perak

PAS Putuskan Tidak Sertai Pembentukan Kerajaan Baharu Perak

KUALA LUMPUR: PAS Pusat telah membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu, namun akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, tiga ADUN PAS telah menyokong Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Lajnah Politik PAS Pusat.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN pada usul dikemukakan pada sidang DUN Perak yang berlangsung di Bangunan Perak, Ipoh hari ini.

Beliau yang juga ADUN Chenderiang hanya menerima 10 undi menyokong, manakala 48 tidak menyokong dan satu berkecuali dalam undi sulit dari usul dibawa Dato’ Abd Manap Hashim (Umno-Pengkalan Baru) itu.

Abd Manap membentangkan usul dengan mengemukakan hujah mahu membuktikan bahawa Ahmad Faizal mempunyai sokongan majoriti dan keyakinan ADUN yang perlu disahkan menerusi keyakinan di dewan itu.

Speaker DUN Perak, Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid sebelum itu memulakan sidang dengan memberi laluan kerajaan negeri untuk membentangkan belanjawan negeri dan memaklumkan menolak mendahulukan usul Abd Manap.

Bagaimanapun Salbiah Mohamed (Umno-Temengor) bangun meminta usul undi percaya tersebut didahulukan dan mendapat sokongan Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) yang menegaskan pendirian seiring.

Salbiah dan Lee masing-masing menyatakan bahawa Dewan perlu membuktikan bahawa Ahmad Faizal mempunyai keyakinan majoriti sebagai Menteri Besar Perak agar isu-isu ketidakyakinan terhadap beliau dapat dipadamkan.

Berikutan itu, Speaker menyerahkan kepada Ahli Dewan untuk memutuskan perkara berkenaan, menyaksikan suara majoriti bersetuju agar usul percaya terhadap Ahmad Faizal didahulukan dan pengundian dijalankan.

Speaker setelah pengundian itu mengumumkan sidang ditempohkan hingga jam 2:00 petang Rabu hadapan.

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular