Selepas ramai yang tak puas hati dengan pihak Kerajaan Perikatan Nasional membenarkan RM85 juta wang rakyat dibelanjakan untuk operasi Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pada tahun 2021, kini ramai pula tak puas hati dengan khabar angin pelantikan ketua pengarah agensi tersebut.
Tular di media sosial poster ucapan tahniah kepada YB Dr Afif Bahardin kerana dilantik sebagai Ketua Pengarah JASA yang baharu.
Afif merupakan ADUN Seberang Jaya dari Parti Keadilan Rakyat sebelum ini, juga pengasas Pemuda Negara dan merupakan ‘orang kuat’ kepada Menteri Kanan YB Datuk Seri Azmin Ali. Afif juga sahabat baik kepada Setiausaha Politik Azmin, iaitu YB Hilman Idham.
Menurut poster berkenaan, Afif bakal dilantik ke jawatan tertinggi tersebut setelah pihak kerajaan bersetuju untuk mewujudkan semula JASA yang telah dimansuhkan pada tahun 2018 oleh rejim DAP yang menguasai Kerajaan Pakatan Harapan.
Ramai yang melontarkan pandangan bahawa JASA yang baru ini mungkin akan dikuasai oleh ‘anak didik’ Azmin Ali dan Hilman Idham. Walau bagaimanapun, tiada ‘hitam putih’ yang mengesahkan perkara berkenaan.
Namun yang pasti kata netizen terutama bekas staf JASA, orang lama dalam jabatan tersebut mungkin tidak lagi berpeluang untuk berkhidmat setelah mereka dibuang kerja dengan kejam oleh DAP yang memimpin Pakatan Harapan.
Sekiranya Kerajaan Perikatan Nasional ingin meredakan situasi getir ini, wajar untuk pihak kerajaan melantik Ketua Pengarah JASA dari kalangan mereka yang profesional, intelek dan mempunyai ilmu strategik yang tinggi.
Kerajaan juga perlu memberi peluang utama kepada bekas staf JASA yang dahulu untuk mengisi kembali kekosongan jawatan dalam jabatan berkenaan.
Jika kerajaan berdegil dan masih tidak mahu menerima teguran rakyat, mungkin hayat kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tidak akan lama. Fikir-fikirkanlah.