Pergerakan Puteri UMNO mahukan tempoh moratorium dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi bagi rakyat yang memerlukan.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, selain itu pihaknya tetap konsisten mahu kerajaan membenarkan pengeluaran sejumlah wang daripada akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Permintaan itu selaras dengan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 3 November yang lalu.
“Dalam pembentangan #Bajet2021 Jumaat ini, saya dimaklumkan kemungkinan kerajaan tidak akan benarkan pengeluaran KWSP seperti yang diperlukan rakyat dalam situasi Covid-19 sekarang ini,” katanya dalam kenyataan pendek menerusi media sosialnya hari ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dijadualkan akan membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 6 November.
Jelas Zahida, hasil tinjauan menunjukkan lebih 80 peratus pencarum memerlukan pengeluaran tersebut.
Sebelum itu, ahli-ahli Parlimen BN yang terdiri daripada 43 orang telah bersetuju sebulat suara akan terus memberi sokongan tanpa berbelah bagi ke atas Belanjawan 2021 kerajaan namun mohon dipertimbangkan dua perkara tersebut iaitu melanjutkan tempoh moratorium dan meluluskan pengeluaran sejumlah wang daripada KWSP.