Saturday, October 23, 2021
ISU SEMASATV Alhijrah Saji Rancangan Menarik Sempena Maulidul Rasul

TV Alhijrah Saji Rancangan Menarik Sempena Maulidul Rasul

12 Rabiulawal 1442H bersamaan 29 Oktober 2020 bakal bertandang kurang dari seminggu lagi. Tarikh istimewa ini sudah semestinya amat bermakna buat seluruh umat Islam kerana pada detik keramat ini telah lahirnya kekasih Allah, Muhammad Al-Amin. Lahirnya Baginda SAW bersama sinar Islam yang menyuluh seluruh alam dengan cahaya yang membezakan di antara hak dan batil.

Bagi mengingati kekasih Allah SWT ini, TV AlHijrah sekali lagi menjadi perintis utama di dalam sambutan Maulidul Rasul di kaca televisyen. Stesen berkonsepkan gaya hidup Islam ini akan melancarkan kempen memperingati Baginda SAW bermula 23 Oktober 2020 hingga 6 November 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris berkata, “Sambutan Maulidur Rasul ini bertujuan untuk mengingatkan penonton TV AlHijrah tentang nilai murni dan pengajaran serta dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sepanjang kerasulan Baginda”.

“Ummah Rabbani Negara Harmoni adalah tema pilihan bagi sambutan Maulidur Rasul di kaca televisyen kami. Tema ini jelas membawa maksud mencintai Rasul SAW menjadi satu kewajipan dalam konteks ketaatan, menjadi pencetus idea dalam konteks dakwah, dan ia juga merupakan silibus dalam pentadbiran dan garis panduan kehidupan” jelas Namanzee.

“Kami sajikan barisan rancangan istimewa sepanjang Rabiulawal 1442H ini. Antara yang wajib ditonton adalah rancangan E-Kaunter Netizen Bersama Syamsul Debat, rancangan Sentuhan Kalbu Bersama Habib Ali, rancangan MY #QuranTime Istimewa, Dokumentari Jambatan Tim Sarok, Filem Istimewa Latitude 6, rancangan Kasih Kenyalang dan program siaran langsung Hijrah Berselawat.

Menurut Namanzee kesemua program segar ini memberi terjemahan yang sangat jelas kepada penonton bahawa agama Islam yang disampaikan oleh Rasulullah adalah Addin atau cara hidup yang menyuluh kegelapan manusia dengan mentauhidkan diri kepada Allah.

“Apa yang penting, kami mahu semaikan semangat dan fahaman yang meletakkan Rasulullah sebagai idola teratas dan terulung. Kehidupan Rasullullah samada dari segi sosial, ekonomi dan kekeluargaan dijadikan panduan sepanjang zaman” ulas Namanzee.

Selain daripada hidangan rancangan-rancangan istimewa tersebut, TV AlHijrah turut melancarkan pertandingan Resepi Juadah Anda bagi memenuhi masa lapang penonton yang bekerja di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan. Pertandingan ini memberi peluang kepada penonton untuk menghantar video masakan dan hidangan istimewa mereka untuk diadili juri dalaman TV AlHijrah. 13 video masakan terbaik, menarik dan kreatif akan disiarkan di dalam rancangan Assalamualaikum serta berpeluang memenangi sejumlah wang tunai.

Artikel berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Berita terkini

Popular