KUALA LUMPUR: Seorang suspek yang disiasat berkaitan kes pengubahan wang haram dikatakan melarikan diri sebaik dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelmarin.
Suspek dikatakan berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan SPRM di Putrajaya sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar.
Ketika kejadian, lelaki itu bersama tiga lagi suspek terdiri daripada dalang utama serta dua pegawai polis dalam proses diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam.
Sumber memaklumkan, polis sedang giat menjalankan usaha memburunya.
Buat masa ini, BH masih menunggu pengesahan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata tiga lagi suspek yang turut dibebaskan SPRM itu ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
“Hari ini kita akan buat tangkapan ke atas mereka bersabit dengan Akta Pencegahan Jenayah.
“Siasatan ke atas mereka menjurus kepada pembabitan dalam kegiatan judi dalam talian haram,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Dalam pada itu, katanya pihaknya turut memburu beberapa individu lain berhubung siasatan kes itu.
Semalam, beliau memaklumkan polis akan menahan semula tiga suspek itu selepas mahkamah menolak permohonan reman ke atas mereka berhubung kes pusat panggilan berkaitan kegiatan judi dalam talian.
Nik Ros Azhan berkata mereka ditahan semula bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung satu laporan berkaitan kegiatan perjudian di Cheras, di sini.