Mutakhir ini kita dapat lihat bagaimana ramai ahli UMNO yang tidak puas hati mengenai hubungan yang dijalinkan antara UMNO dan PPBM dan kita dapat lihat sebahagian ahli UMNO secara terbuka mengharapkan PPBM tidak diserap masuk dalam Muafakat Nasional. Mana tidaknya, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat seperti tidak menghormati UMNO dalam beberapa keputusan yang telah dibuat dan ada juga keputusan yang dibuat tanpa berunding dengan UMNO.
Sebagai contoh, perlantikan speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kedua-dua yang dilantik merupakan pilihan YAB PM. Sepatutnya atas dasar persahabatan dan muafakat, perkara ini dirunding dan salah satu daripada posisi itu dipilih daripada kem UMNO. Kita juga lihat di Pilihanraya Negeri Sabah, daripada jentera sehinggalah ke pimpinan tertinggi, kita dapat rasakan ada perasaan tidak puas hati dengan kerjasama bersama PPBM. Dalam tempoh 14 hari berkempen, tidak sekalipun kita lihat Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berada sepentas dengan YAB PM walaupun Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mahu mewujudkan kerajaan bersama di Sabah. Perkara ini diperkukuhkan lagi apabila, Presiden UMNO memilih untuk tidak hadir sewaktu pelancaran manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Selepas PRN Sabah selesai, Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hasan, telah menggesa Presiden UMNO untuk menentukan hala tuju jelas parti disebabkan UMNO sekarang dilihat sebagai hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS.
Sewaktu gelombang kemarahan UMNO sedang memuncak, kelihatan seorang pemimpin UMNO yang bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kerjasama bersama PPBM iaitu Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Setiausaha Agung Muafakat Nasional. Ramai mempersoalkan kesungguhan beliau tatkala UMNO merasakan PPBM sedang memperlemahkan UMNO secara halus. Maka timbul persepsi bahawa Tan Sri Annuar Musa merupakan ‘orang PM’ dan menjadi musuh dalam selimut.
Yang menghairankan, persepsi ini walaupun mudah untuk disimpulkan sebegitu, ianya seperti tidak logik. Kesetiaan Annuar kepada UMNO telah terbukti beberapa kali. Pertama beliau diuji sewaktu Tengku Razaleigh Hamzah mewujudkan Semangat 46 (S46) setelah tewas tipis kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pemilihan Presiden UMNO pada tahun 1987. Walaupun Annuar berada di dalam kem Tengku Razaleigh sewaktu pemilihan, beliau tidak sanggup untuk meninggalkan UMNO dan menyertai S46. Perkara ini merugikan Annuar kerana S46 kuat di Kelantan, dan UMNO menjadi tidak popular di Kelantan.
Annuar merupakan ahli kabinet sewaktu zaman Tun Mahathir menjadi PM-4 dan tidak pernah menjadi anggota kabinet sewaktu zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga sewaktu zaman Dato’ Sri Najib Razak. Sewaktu Tun Mahathir mewujudkan PPBM, ramai ahli kabinet pada zaman beliau menyertai atau menyebelahi beliau dalam PPBM dan meninggalkan UMNO, Annuar Musa tetap memilih untuk bersetia bersama UMNO.
Selepas PRU 14, setelah UMNO & Barisan Nasional tewas dan hilang kuasa pemerintahan, sekali lagi Annuar memilih untuk bersetia dalam UMNO. Sewaktu ramai ‘hero-hero’ UMNO yang dahulunya ada cita-cita besar dalam parti tetapi setelah tewas mereka memilih untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti dan ada juga yang terus melompat keluar parti, Annuar memilih untuk teruskan perjuangan bersama UMNO dan bertanding jawatan Timbalan Presiden dimana beliau kalah kepada Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan. Beliau ditekan dan digertak oleh penguatkuasa seperti SPRM dan LHDN dibawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tetapi beliau tenang kerana beliau yakin dakwaan-dakwaan yang dibuat keatas beliau adalah palsu dan bermotifkan politik. Jadi kenapa sekarang baru Annuar mahu mengkhianati perjuangan UMNO? Mengapakah mahu bersungguh-sungguh menyebelahi PPBM? Ataupun ada perkara yang Annuar tahu tetapi yang majoriti ahli UMNO tidak?
Annuar merupakan arkitek kepada sistem pengurusan data dan maklumat pilihanraya untuk UMNO dan Barisan Nasional. Sistem yang beliau hasilkan ini telah diuji oleh beliau sendiri dalam PRU 14 di Parlimen Ketereh. Sewaktu ramai pemimpin UMNO tewas atau turun majoriti sokongan, Annuar berjaya untuk menggandakan majoritinya sebanyak empat kali ganda iaitu daripada 974 undi sewaktu PRU 13 sehingga beliau mendapat 4626 undi majoriti dalam PRU 14. Setelah kerajaan BN tewas dalam PRU 14, Annuar membawa sistem tersebut untuk digunapakai di peringkat nasional tanpa mengaut sebarang keuntungan. Sistem tersebut diperbaiki dan diperkasakan dalam beberapa siri PRK pasca PRU 14 dan ianya telah menjadi aset berharga buat UMNO dan Barisan Nasional setelah menjadi antara penyumbang terbesar dalam kemenangan tujuh PRK pasca PRU 14.
Ini membolehkan Annuar membuat analisa tentang kekuatan sebenar UMNO dan Barisan Nasional di peringkat nasional dan sekarang berdasarkan data yang dianalisa, mungkin beliau merasakan peluang UMNO untuk kekal dalam kerajaan adalah lebih cerah jika Penyatuan Ummah diperkasakan. Pergaduhan dengan PPBM hanya akan merugikan parti-parti Melayu kerana sekali lagi undi Melayu akan berpecah jika adanya pertembungan tiga penjuru sewaktu PRU 15 nanti. Sebagai Setiausaha Agung Muafakat Nasional, beliau turut tidak mempunyai kepastian jika PAS akan memilih untuk bersama UMNO dan bukan PPBM. Jika PAS memilih untuk bersama PPBM, harapan untuk UMNO kekal dalam kerajaan semakin tipis. Malah PRN Sabah baru-baru ini, jika UMNO dan Bersatu bertembung, banyak kerusi yang dimenangi oleh calon-calon UMNO akan tumpas kepada Warisan+ dan ini sangat merugikan parti UMNO.
a) Kerusi Karambunai – (UMNO menang dengan mojoriti 16 undi)
b) Kerusi Pantai Manis – (UMNO menang dengan mojoriti 686 undi)
c) Kerusi Balung – (UMNO menang dengan mojoriti 580 undi)
d) Kerusi Lamag – (UMNO menang dengan mojoriti 661 undi)
Mungkin majoriti 500-600 undi sudah selesa untuk kerusi Dewan Undangan Negeri, tetapi kalau PPBM dan UMNO bertembung, amatlah tidak mustahil untuk kita membuat anggaran bahawa PPBM mampu untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 600-700 undi untuk setiap kerusi diatas dan ini sudah cukup untuk membantu Warisan menang. Jadi dalam situasi ini, UMNO harus bertanya sesama mereka, siapa musuh utama mereka, PPBM atau PH dan Warisan?
Dengan angka-angka kasar ini, tidak mustahil untuk Annuar merasakan pergaduhan dengan PPBM hanya merugikan UMNO dan menguntungkan PH dan Warisan. UMNO lebih kuat didalam kerajaan, malah jika UMNO mahu mengemudi kepimpinan negara, peluangnya lebih cerah dengan Penyatuan Ummah antara ketiga-tiga parti Melayu Islam iaitu UMNO-PAS-PPBM. UMNO hanya perlu bergerak dengan lebih bijak secara diam-diam, mengumpul kekuatan dan menambahkan kerusi dalam PRU 15. Biarlah PPBM bertanding paling banyak kerusi, asalkan UMNO bertanding di kawasan-kawasan yang mempunyai peluang yang tinggi untuk menang. Sebagai contoh, dalam PRU 14 walaupun PPBM bertanding paling banyak kerusi, DAP memenangi jauh lebih banyak kerusi daripada PPBM. Realitinya Annuar mahu UMNO kembali mengemudi kerajaan dan beliau mempunyai pendapat yang tidak popular untuk melakukannya, tetapi mungkin itu langkah yang paling tepat untuk kelangsungan perjuangan UMNO.
*Artikel dipetik dari Facebook Rf Lias