BEAUFORT, 5 Okt — Enam lelaki berusia lingkungan 15 hingga 53 dikenakan kompaun oleh pasukan pemantauan penguatkuasaan Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, 6.15 petang semalam apabila gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika bermain snuker.
Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak kesalahan mereka telah disiasat mengikut Peraturan 11(1) dan Peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Lima yang dikompaun didapati membuat kesalahan dengan tidak menulis nama dan mengambil bacaan suhu ketika masuk ke dalam premis manakala seorang lagi yang merupakan penjaga premis turut dikompaun kerana gagal memastikan pelanggannya mematuhi SOP PKPP.
Kesemua suspek kemudiannya telah dibawa ke IPD Beaufort untuk tujuan kompaun. –