95 Individu Dikompaun Dalam Operasi Pematuhan – Ismail Sabri

0
311

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Dalam kenyataan media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-198 dan hari ke-114 PKP Pemulihan (PKPP) hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 54,764 pemeriksaan telah dibuat semalam oleh Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
Dalam pemeriksaan tersebut, 98 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP telah ditahan dimana 95 individu dikompaun dan tiga lagi telah direman.
Menurut beliau, kesalahan ingkar PKP paling tinggi adalah melalui aktiviti kelab malam (34 kes), diikuti penjarakan fizikal (24 kes), tidak memakai pelitup muka (22 kes), gagal lunas caj kuarantin (10 kes) dan gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (8 kes).
Task Force Operasi Pematuhan semalam melibatkan 3,048 pasukan pematuhan dengan 13,132 anggota yang membuat pemantauan di 3,521 pasar raya, 4,401 restoran, 1,466 penjaja, 1,136 kilang, 3,511 bank dan 744 pejabat kerajaan.
Turut dipantau ialah 1,047 terminal pengangkutan darat, 207 terminal pengangkutan air serta 155 terminal pengangkutan udara. –