Saturday, October 23, 2021
ISU SEMASAZul dapat 'rehat' lama

Zul dapat ‘rehat’ lama

KEMUNCULAN Covid-19 pada tahun ini sememangnya dugaan yang tidak dijangka. Pelbagai sektor pekerjaan terjejas akibat ekonomi yang merudum.
Malah, dalam hal ini kebanyakan penggiat seni tanah air berhadapan masalah kewangan apabila urusan kerja diberhentikan serta-merta.
Walaupun hanya tiga bulan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian Covid-19, ia satu pengorbanan yang besar.
Mengulasnya, pelakon Zul Ariffin, 34, berkata, sepanjang berehat di rumah dalam tempoh yang lama dia tidak pernah terlepas mengikuti perkembangan semasa.
“Sudah lebih sedekad aktif dalam kerjaya seni, tahun ini adalah julung kalinya saya dapat berehat daripada kerja dalam tempoh sangat lama.

JADUAL aktiviti lakonan Zul sudah padat hingga hujung tahun ini.
 
“Alhamdulillah, saya dapat melaluinya dengan baik kerana sikap diri yang memang sukakan privasi. Jadi, syukur saya tak berhadapan masalah.
“Bagaimanapun, perasaan bosan itu memang ada. Cuma, saya sentiasa tenangkan diri supaya tidak terjebak untuk buat rakaman bukan-bukan,” katanya.
Ditanya juga mengenai pendapatannya yang terjejas, Zul tidak menafikan perkara itu. Namun, katanya situasi dihadapi tidaklah begitu teruk.
“Alhamdulillah, saya mempunyai kewangan stabil kerana sentiasa beringat untuk membuat simpanan bagi kecemasan. Saya amalkan menabung.
“Ini kerana, sebagai karyawan seni iaitu pelakon semestinya saya harus bijak menguruskan kewangan. Ditambah lagi, pendapatan bergantung pada tawaran kerja.
“Justeru, sejak awal pembabitan dalam kerjaya seni saya pastikan membuat simpanan kewangan. Bagi saya, waktu kecemasan tak boleh dijangka.

ZUL sukakan privasi.
 
“Sebagaimana kemunculan Covid -19 ini yang menular tiba-tiba dan ketika itu ramai orang tidak bersedia. Malah, sekarang, menyerang ke seluruh dunia,” katanya.
Menurut Zul, dia seorang yang selesa mengambil langkah berhati-hati ketika berbelanja. Katanya, dia sekadar membeli apa yang dirasa perlu.
Berbicara kariernya, pemuda kelahiran Taiping, Perak ini memaklumkan jadual aktiviti lakonannya sudah padat hingga hujung tahun ini.
“Kebanyakan tawaran itu adalah berlakon filem. Bagaimanapun, dengan situasi wabak yang belum berakhir ini, maka ia ditangguhkan dulu.
“Sehingga bila penangguhan jadual penggambarannya, saya tak pasti. Apapun, kita semua harus berdoa semoga pandemik ini berakhir,” katanya.
Apapun, bagi peminat Zul pastinya teruja menyaksikan lakonannya dalam drama Bidadari Kiriman Tuhan di Astro dan terkini, dia tampil dengan drama Ryan Aralyn di TV3.

ZUL bersama pelakon filem Juang, Zizan Razak (kiri) dan Jack Lim ketika sidang media di sebuah hotel baru-baru ini.
ZUL bersama pelakon filem Juang, Zizan Razak (kiri) dan Jack Lim ketika sidang media di sebuah hotel baru-baru ini.
Filem Juang taruhan baharu
Memiliki tubuh sasa dan pernah membintangi beberapa filem aksi, bakat lakonan Zul untuk paparan di layar perak sudahpun berjaya dibuktikannya.
Justeru, tidak hairanlah apabila nama Zul sering melekat untuk menjadi pilihan kebanyakan penerbit filem untuk membintangi produk dihasilkan mereka.
Terbaharu, Zul mengakui dia sangat teruja untuk membintangi filem Juang yang menggandingkannya dengan dua lagi pelakon utama iaitu Zizan Razak dan Jack Lim.
“Saya tertarik untuk bergabung sama dalam karya ini kerana ada enam kisah dan olahan ceritanya pula digalas oleh enam pengarah filem dikenali.
“Selain itu, ini juga adalah projek besar yang pertama saya lakukan sepanjang menceburi industri hiburan. Saya yakin, pengalamannya sangat menarik.
“Apapun, setakat ini saya belum mendapat skrip penuh dan belum pasti akan bekerja di bawah pengarah yang mana. Apapun, saya tak memilih,” katanya.
Memikul tanggungjawab watak utama sebagai pejuang barisan hadapan, Zul berkata semua watak ada kekuatannya yang tersendiri.
Sehubungan itu, filem Juang akan diterbitkan tiga syarikat produksi iaitu Asia Tropical Films, The Film Engine dan Suhan Movies dengan kos pembikinan sebanyak RM6 juta.
Bakal dibintangi 100 pelakon dan membabitkan 200 tenaga kerja produksi, pengarah yang terpilih untuk merealisasikan projek filem ini ialah Aziz M Osman, Yusry Abdul Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali, Matt Lai dan Erma Fatima.
Source link

Artikel berkaitan

Komen

Berita terkini

Popular