UMNO: Dulu dan kini sudah berbeza…mahu kan kita berubah? Atau masih lagi mahu duduk di dalam keadaan yang merugikan?
1. PRN Sabah sudah berlalu dan sekali lagi kita berada di dalam krisis politik yang sudah boleh dijangka. UMNO dan Barisan Nasional sekali lagi diduga dengan ujian politik yang berat tetapi kali ini lebih kritikal bila mana beberapa keputusan di dalam PRN Sabah bermula daripada pengagihan kerusi sehinggalah selepas mencapai kemenangan dan penubuhan kerajaan mendatangkan ketidakselesaan kepada akar umbi.
2. Walaupun UMNO Sabah diberikan autonomi penuh menentukan halatuju UMNO Sabah, tetapi keadaan ini tetap memberikan kesan kepada UMNO di Semenanjung terutamanya kepada mereka yang berkorban masa, tenaga dan juga kesihatan selama tempoh 2 minggu berkempen untuk UMNO Sabah.
3. Pelbagai pandangan telah diberikan oleh kepimpinan dan akar umbi UMNO. Ini termasuklah reaksi kita terhadap kenyataan Ketua Armada yang dilihat bongkak dan angkuh. Kenyataan lupa diri daripada Ketua Armada yang hidup atas ihsan YAB Perdana Menteri tanpa sedikit pun perlu bersusah payah menghadap keperitan rakyat sebelum ini menerima reaksi pelbagai pihak di dalam UMNO termasuklah Ketua Pemuda dan Puteri UMNO.
4. Namun yang demikian, pada saya, kenyataan Ketua Armada ini tidak perlulah kita ambil pusing sangat. Kenyataan beliau lebih bersifat masuk bakul angkat sendiri dan mengampu akhirnya akan dilihat tidak relevan oleh rakyat. Namun satu perkara yang jelas adalah untuk kita menyedari akan kelemahan dan masalah dalaman kita yang masih lagi tidak berkesudahan.
5. Keadaan UMNO hari ini bukanlah hanya disebabkan faktor luaran, tetapi ia juga disebabkan faktor dalaman. Isu kepimpinan merupakan satu isu yang tidak lagi dapat diabaikan dan selagi kita tidak mengambil tindakan drastic, selagi itulah kepimpinan akan terus membuat kesilapan. UMNO tidak boleh berterusan duduk di dalam keadaan seperti hari ini kerana kita berada di dalam kedudukan politik yang amat tidak menguntungkan. Kita bermain di dalam terma PPBM dan bukan atas terma UMNO walaupun secara statistiknya UMNO dilihat mempunyai kekuatan yang jelas.
6. Maka, tidak salah lah jika ada andai-andaian yang mengatakan terdapat keputusan-keputusan UMNO dibuat dilihat seperti tidak masuk akan dan seolah-oleh diugut atas sebab-sebab tertentu. Mana mungkin sebuah parti yang kuat secara berterusan berbesar hati memberikan PPBM banyak kelebihan, bermula daripada jawatan Perdana Menteri, kedudukan Menteri-menteri cabinet, kerajaan negeri Perak dan kini kerajaan negeri Sabah.
7. Berdasarkan kupasa ringkas ini, maka saya dan rakan-rakan di dalam kepimpinan pemuda bahagian merasakan sudah sampai masanya UMNO mempertimbangkan secara serius cadangan Tengku Razaleigh untuk UMNO/BN menarik diri daripada kerajaan hari ini dan mendesak supaya PRU15 diadakan. Mandat perlu diberikan kembali kepada rakyat. Jika menang, menanglah UMNO/BN dan jika kalah maka kalahlah UMNO pada PRU15.
8. Namun yang demikian, beberapa persoalan perlu dijawab:
- Adakah mereka-mereka yang kini menjawat jawatan di dalam kerajaan mampu melepaskan jawatan dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada keputusan kepimpinan untuk menarik diri daripada kerajaan hari ini?
- Siapakah yang boleh memimpin UMNO di masa-masa yang sukar ini terutamanya untuk menghadapi PRU15? Maaf tetapi kepimpinan yang ada hari ini terlalu goyah untuk memberikan UMNO kedudukan yang baik dan menguntungkan di dalam setiap perbincangan dan pertembungan politik.
- Adakah kita bersedia untuk perubahan drastik dan mempunyai cukup motivasi untuk menlaksanakan perubahan tanpa mempedulikan kerugian politik individu di dalam UMNO.
9. Tepuklah dada dan tanyalah hati, mengapa kita masih setia kepada UMNO dan adakah kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti yang kita cintai ini. Jawapan ini akan membawa kepada perubahan UMNO sama ada menjadi lebih baik atau kekal menjadi sebuah parti yang seolah-olah tiada masa depan.
Wan Agyl Wan Hassan
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seputeh.