ALOR GAJAH, 26 Sept — Dalam program ‘Financial Well-Being’ dan Insentif i-Suri Peringkat negeri Melaka semalam, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Mohd Naim Daruwish mengutarakan kebimbangannya apabila terdapat ramai pencarum KWSP tidak mencapai simpanan asas yang ditetapkan ketika umur persaraan.
KWSP telah menetapkan simpanan asas sebanyak RM240,000 ketika usia persaraan 55 tahun dengan mengambil kira purata jangka hayat penduduk negara ini yang telah meningkat kepada 75 tahun.
Amat membimbangkan apabila terdapat sebanyak 54 peratus pencarum KWSP berusia 54 tahun yang mempunyai simpanan tidak sampai RM50,000 jauh dari simpanan asas yang ditetapkan oleh KWSP, ujar Mohd Naim di dalam program yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali itu.
Secara purata hanya 34 peratus pencarum aktif KWSP mencapai tahap simpanan asas mengikut umur.
Tambah beliau, literasi kewangan atau kebijaksanaan menguruskan kewangan dalam kalangan rakyat rendah adalah antara faktor simpanan pencarum masih kurang.
Berbanding singapura, 59 peratus dan Myanmar 52 peratus, tahap literasi kewangan negara ini hanyalah sekitar 36 peratus.
Oleh kerana itu, demi menjamin kebajikan rakyat, KWSP menggalakan rakyat yang tidak mempunyai majikan dan bekerja sendiri seperti peniaga dalam talian dan pemandu e-hailing untuk menguruskan wang persaraan mereka dengan mencarum di bawah Program Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan).
i-Saraan adalah inisiatif kerajaan untuk memastikan golongan bekerja sendiri mempunyai simpanan apabila mencapai umur persaraan dengan membuat bayaran atau caruman secara sukarela mengikut kemampuan dan tidak melebihi RM60,000 setahun.
Penyertaan rakyat dalam i-Saraan masih kurang. Menurut Mohd Naim, sehingga Jun lepas, hanya 255,958 individu dari seluruh negara telah berdaftar di bawah i-Saraan.
Sehingga kini KWSP mempunyai 14.6 juta pencarum aktif dan 530,000 majikan dengan jumlah dana yang diuruskan sebanyak RM940 bilion.
–