Tentera Korea Utara Tembak Dan Bakar Pegawai Korea Selatan

0
329

SEOUL, 25 Sept  — Seorang tentera Korea Utara telah menembak mati seorang pegawai perikanan Korea Selatan ketika sedang menjalankan tugasnya berhampiran pulau Yeonpyeong di sempadan Laut Kuning isnin lepas. Mayat mangsa kemudiannya telah dibakar.
Pada hari kejadian, kebetulan sebuah pesawat peninjau RC-135S Cobra Ball milik Amerika Syarikat (AS) dilapor terbang menjalankan misinya di ruang udara Laut Kuning, lapor agensi berita Yonhap.
Sungguhpun demikian masa sebenar misi tidak dapat dipastikan tetapi operasi dilakukan pada waktu siang.
Kementerian Pertahanan Seoul berkata pihaknya menerima dan menganalisis risikan dari pelbagai sumber termasuk dari AS berhubung dengan insiden tersebut sementara Korea Utara masih tidak memberikan sebarang kenyataan.

Menurut Tentera Udara AS, RC-135S dilengkapi pelbagai sensor optik dan elektronik, alat rakaman serta peralatan komunikasi canggih dan sering digunakan untuk menjalankan misi mengumpul data optik dan elektronik mengenai sasaran balistik.
Dilaporkan, pesawat tersebut sering dihantar bersama pesawat pengintip lain ke Semenanjung Korea bagi tujuan memantau Korea Utara.