BUKIT MERTAJAM, 25 Sept — Selepas seminggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, kini dilaporkan sudah sedar dari koma dan dapat mengecam ahli keluarga yang datang melawatnya.
Nor Aqilah merupakan seorang dari empat mangsa keracunan karbon monoksida ketika tertidur di dalam kereta dengan cermin tertutup rapat semasa berhenti berehat di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth.
Beliau merupakan mangsa terakhir yang koma akibat keracunan karbon monoksida manakala tiga rakannya, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan yang kesemuanya berusia 21 tahun meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Mereka yang merupakan pelajar di sebuah kolej perubatan swasta di Batu Caves dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang sempena Hari Malaysia, dikatakan singgah berehat di stesen minyak berkenaan kira-kira 8.30 malam setelah Nor Aqilah yang memandu kereta jenis Honda Odyssey mengadu pening dan muntah.
–