Kota Kinabalu, 24 Sept — Susulan seorang pendaki dari Tawau dikesan sebagai kontak rapat kepada individu yang didapati positif COVID-19, Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah mengeluarkan notis penutupan Kompleks Taman Kinabalu, bermula esok hingga 8 Oktober depan.
Setiausaha Tetapnya, Dr Jamili Nais dimaklumkan bahawa terdapat seorang pendaki dari Tawau yang merupakan kontak rapat sorang pesakit COVID-19 telah mendaki pada 13 hingga 14 September lalu.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Kesihatan Sabah mengesyorkan Kompleks Taman Kinabalu ditutup kepada orang awam, termasuk pendaki ke Gunung Kinabalu, selama 14 hari berkuat kuasa 25 September hingga 8 Oktober depan.
Notis penutupan, termasuk penghalang masuk ke Kompleks Taman Kinabalu, telah diletakkan bermula hari ini.
Kakitangan yang bertugas di pusat saringan, kaunter pendaftaran dan pintu masuk Kompleks Taman Kinabalu serta Panalaban juga dikehendaki untuk menjalani saringan kesihatan pada hari ini di Dewan Kinabalu.
Selain itu, semua malim gunung dan porter serta kakitangan Sutera Sanctuary Lodge (SSL) dan Mt Torq yang terdedah kepada jangkitan COVID-19 ketika bertugas pada dua tarikh berkenaan, telah dikehendaki menjalani saringan kesihatan dan menjalani kuarantin 14 hari di rumah sehingga keputusan saringan kesihatan diperolehi.
Bagaimanapun, kakitangan taman, SSL dan Mt Torq serta agensi yang ada kepentingan, akan dibenarkan masuk. Semua kemudahan awam juga akan dilakukan proses nyah kuman.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew juga telah diberi taklimat taklimat berhubung situasi terbabit. –